ACP Noor Dellhan Yahaya

KUALA LUMPUR – Polis menahan dua lagi individu bagi membantu siasatan kes penganjuran festival Hooray X Fest Raya di Pusat Dagangan Dunia (WTC) awal minggu ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, kedua-dua mereka merupakan suspek terbaharu dalam kes berkenaan selepas tiga yang lain termasuk dua wanita yang ditahan awal minggu ini.

Dua individu itu  adalah Pengurus Majlis Festival Hooray X Fest Raya dan seorang lagi pegawai pemasaran.

“Kedua dua suspek masing-masing berusia 74 tahun dan 43 tahun, ditahan di ibu negara.

“Mereka kini telah direman selama empat hari bermula 21 hingga 24 April ini untuk membantu siasatan lanjut dalam kes ini.

“Manakala tiga suspek awal iaitu membabitkan dua wanita dan seorang lelaki yang direman sehingga 21 April lalu telahpun dibebaskan dengan jaminan polis selepas selesai diambil keterangan mereka,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Pengarah syarikat antara 3 ditahan kes anjur Festival Hooray X Fest Raya

Tambah beliau, setakat ini kerugian dianggarkan berjumlah RM80,800.

Katanya, polis akan mendapatkan lagi jumlah wang yang terlibat dalam penganjuran majlis tersebut dengan penahanan terbaharu ini.

Justeru, beliau menyeru mangsa-mangsa yang terlibat dengan kes ini tampil membuat laporan polis bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette

 

2 Komen

  1. Alhamdulillah Muga Muga makin berkurangan manusia durjana yg hidup umpama lintah menghisap darah orang. Kifarah Allah atas dunia sudah ditunjukkan..dan jgn lupa MATI ITU PASTI.

  2. Mudah mudahan scammer tu insaf dan kembali ke jln yg lurus dan mencari rezeki yg halal lagi berkat.

Comments are closed.