KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa melawat penyanyi era 1980-an, Rohana Jalil yang kini menerima rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Dalam lawatan yang diadakan pada Jumaat lalu, Anwar turut menziarahi rakan beliau yang sama-sama belajar di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) Adzis Ismail.
Perdana Menteri mendoakan kedua-dua mereka diberikan kesihatan dan kesembuhan.
“Seniwati Rohana sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), akibat kebocoran usus dan tahap kesihatannya masih dipantau pasukan perubatan.
“Manakala saudara Adzis yang merupakan rakan saya semasa di MCKK sedang menjalani dialisis akibat masalah kesihatan yang dialami.
“Saya mendoakan kedua-dua mereka dikurniakan aafiyah, insya-Allah,” kata Anwar dalam perkongsian di media sosial.
Media melaporkan, Rohana yang sebelum ini ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sejak Selasa lalu, sudah dipindahkan ke unit dependensi tinggi (HDU).
Anak bongsu penyanyi itu, Syakila Nisa Jahangir Khan atau dikenali sebagai Kilafairy berkata, ibunya masih kritikal, namun, keadaannya lebih baik berbanding sebelum ini.
Rohana atau nama sebenar, Dara Abd Jalil, 68, dimasukkan ke HCTM, Selasa lalu, namun, ketika itu, belum dapat disahkan puncanya.
Rabu lalu, penyanyi lagu Rayuanku itu selamat menjalani pembedahan untuk merawat kebocoran pada usus perut dan keadaannya dilaporkan positif selepas prosiding itu.-MalaysiaGazette