Hassan Abdul Karim

KUALA LUMPUR – Lagi gesaan supaya sistem kehakiman Malaysia kekal bebas dan adil.

Gesaan terbaharu datangnya daripada Ahli Parlimen Pasir Gudang (PKR) Hassan Abdul Karim.

Katanya, sistem kehakiman perlu bebas dan adil supaya negara kekal aman dan rakyat boleh meneruskan kehidupan harian dengan selamat dan tenteram.

Menurut Hassan, seperti keadaan di Rusia dan Ukraine, di Malaysia hampir semua pemimpin politik dari pelbagai parti berperang sesama sendiri.

Namun di negara ini, ahli politik terbabit menghunus hujah, tuduhan, bersilat lidah dan bertaici hampir setiap hari yang berkesudahan perbalahan sehingga ke mahkamah.

“Kerana itu badan kehakiman Malaysia perlu bebas, neutral dan berwibawa. Bukan sahaja adil tetapi kelihatan bersih dan adil.

“Kalau boleh putih biar lebih putih dari putih sabun dan putih tepung beras atau putih gandum.

“Justeru itu jelas sungguh sistem pengasingan kuasa antara Eksekutif, Legislatif dan Kehakiman sangat relevan di Malaysia,” katanya.

Dalam persanggahan politik, dua senjata yang sangat ampuh digunakan iaitu pendakwaan bagi kes-kes kesalahan jenayah dan tindakan saman fitnah dalam kes-kes sivil.

Kes kesalahan jenayan menyaksikan pemimpin politik diheret ke mahkamah berkaitan rasuah, salah guna kuasa atau pelupusan wang haram.

Mereka yang dikenakan tindakan termasuk bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak, Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Masing-masing dihadapkan ke mahkamah apabila kerajaan yang dipimpin tumbang.

“Jika bersalah hukuman adalah penjara dan denda. Terbuktilah di Malaysia ini semua orang adalah sama rata di bawah undang-undang seperti yang diperuntukkan di dalam Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan,” kata beliau.

Manakala bagi kes sivil saman fitnah, menurut Hassan melibatkan ‘ikan-ikan jerung yang bertelagah sesama mereka di dalam kolam yang sempit’.

“Tun Dr Mahathir Mohamad menyaman Ahmad Zahid. Kemudian Ahmad Zahid Hamidi menyaman Muhyiddin. Lepas itu Datuk Seri Anwar Ibrahim pula menyaman Muhyiddin.

“Yang terbaru mungkin berlaku Dr Mahathir bekas Perdana Menteri ke-4 dan ke-7 menyaman fitnah terhadap Perdana Menteri ke-10 sekarang, Anwar,” katanya.

Namun begitu menurut Hassan, rakyat Malaysia tidak perlu bimbang dengan ‘perang’ yang dilancarkan oleh ahli politik.

Rakyat boleh terus berhari raya, berkunjung ke rumah saudara mara dan rumah terbuka.

“Tidak ada roket yang akan jatuh di sana dan sini. Pemimpin-pemimpin besar itu yang kes-kes mereka berada di mahkamah, kadang-kadang kelihatan macam perangai budak-budak.

“Mereka hanya berperang mulut dan bersilat pulut sahaja. Mereka masih siuman dan dan bertanggungjawab dengan membawa perbalahan dan persengketaan mereka ke mahkamah keadilan.

“Untuk itu kita semua berharap sistem kehakiman Malaysia perlu bebas dan adil supaya negara kita kekal aman dan rakyat boleh meneruskan kehidupan harian dengan selamat dan tenteram,” tegas beliau.-MalaysiaGazette