Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Polis sedang memburu dua lelaki yang disyaki menyamun sebuah kedai menjual telefon bimbit dan melarikan iPhone14 dalam insiden yang berlaku di Sungai Besar, Sabak Bernam pada raya pertama, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Sabak Berna, Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu pada 22 April lalu daripada seorang wanita yang bekerja sebagai penyelia di kedai telefon bimbit itu.

Dalam aduannya, pengadu mendakwa kejadian berlaku pada jam 7.30 malam selepas didatangi dua suspek.

“Ketika pengadu ersama seorang lagi pekerja lelaki berada di premis tersebut, tiba-tiba seorang suspek lelaki memasuki premis dan berpura-pura mahu membeli iPhone 14 Plus Promax.

“Namun, suspek secara tiba tiba mula menyerang pekerja lelaki yang berada di kaunter jualan dan merampas iPhone yang berada di atas meja kaunter.

“Pekerja lelaki itu bertindak mengejar suspek yang mengambil telefon bimbit baharu itu sehingga ke luar premis tersebut sebelum berlaku pergelutan antara suspek dan pekerja terbabit.

“Di luar premis itu, datang seorang lagi rakan suspek yang turut bergelut dengan pekerja untuk merampas dan melarikan barang tersebut.

“Akhirnya kedua-dua suspek berjaya melarikan diri menaiki dua motosikal secara berasingan dari lokasi kejadian samun itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Kejadian itu tular di media sosial.

Ekoran kejadian itu pekerja lelaki itu mengalami kecederaan dan telefon iPhone 14 cuba dirampas suspek gagal diambilnya apabila tercicir di tempat kejadian.

Rentetan kejadian itu, kedua-dua suspek masih dikesan.- MalaysiaGazette