Pelabuhan Sudan
Bangunan Wisma Putra.

KUALA LUMPUR – Seramai 30 rakyat Malaysia selamat meninggalkan Pelabuhan Sudan dengan menaiki kapal tentera laut Arab Saudi menuju ke Jeddah.

Wisma Putra berkata, sebelum itu, mereka menempuh perjalanan yang sukar selama 30 jam melalui jalan darat dari Khartoum, Sudan.

Katanya, perjalanan merentasi Laut Merah dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya 12 jam.

“Kerajaan Malaysia menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih ke atas kerajaan Arab Saudi dan kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) atas bantuan dalam menjayakan misi ini.

“Atas semangat ihsan jua, Malaysia turut memudah cara evakuasi warga Kemboja, Palestin, Filipina, Singapura, Sudan, Thailand, dan Amerika Syarikat untuk dibawa keluar dari Sudan dengan selamat di bawah usaha dan pemantauan operasi evakuasi Malaysia,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Semalam, Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, Pasukan Khas (TF) Ops Sudan Malaysia berjaya membawa 30 warga Malaysia dan 26 warga asing ke Pelabuhan Sudan.

Mereka terpaksa dibawa keluar ekoran konflik bersenjata yang tercetus sejak dua minggu lalu di negara itu antara Angkatan Tentera Sudan dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF).

Setakat semalam, kira-kira 400 orang dilaporkan terkorban manakala lebih 3,700 mangsa cedera dalam konflik tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast