Situasi semasa di lokasi kejadian tanah runtuh di hadapan Akademi SPRM Bukit Tunku yang menyebabkan pondok pengwal bangunan itu tertimbus dalam runtuhan itu.

KUALA LUMPUR – Beberapa runtuhan kecil tanah berlaku berhampiran bangunan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) di Bukit Tunku, Jalan Duta, di sini, malam tadi berikutan hujan lebat.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner, Beh Eng Lai berkata, kawasan yang mengalami runtuhan tanah telah ditutup dengan kanvas semalam bagi mengelak hakis dan runtuhan yang lebih teruk berlaku.

“Namun, kita melihat dan mendapati masih berlaku runtuhan dan hakisan tanah di tempat runtuhan itu, jadi setakat menutup dengan kanvas mungkin tidak dapat mengurangkan risiko bahaya yang ada di lokasi.

“Jadi, kita sedang mempertimbangkan dan berbincang untuk memasang cerucuk besi bagi mengelakkan bangunan berdekatan iaitu Institut Integriti Malaysia (IIM) dengan Akademi SPRM daripada terus terjejas akibat risiko hakisan tanah runtuh ini yangt terjadi sejak semalam,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Ditanya bila penanaman cerucuk akan dilakukan, Eng Lai memberitahu perkara itu akan dibincangkan pada mesyuarat jam 3 petang ini.

Tambah beliau, mesyuarat tersebut juga akan membincangkan punca tanah runtuh itu.

“Setakat siasatan awal semalam di lokasi mendapati paip pecah salah satu punca yang ditemui mengakibatkan berlaku kejadian runtuhan itu. dan kedua adalah berlaku takungan air akibat pemendapan tanah yang turut terjadi di situ.

“Apapun, setakat ini kedua-dua bangunan itu ditutup untuk operasi sehingga arahan lanjut dan satu sidang media mengenai hasil mesyuarat akan dibuat pada 5.30 petang ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast