Projek PSI sebelum ini terdiri daripada tiga pulau namun kini dikecilkan kepada satu pulau.

GEORGE TOWN – Sahabat Alam Malaysia (SAM)  kecewa susulan Jabatan Alam Sekitar (JAS) memberi kelulusan untuk Projek Pulau Pinang Selatan (PSI) walaupun ia ditentang ramai pihak.

Setiausaha Kehormat SAM, S. Mageswari berkata, SAM selaku Ahli Jawatankuasa Semakan Teknikal EIA (EIATRC) turut mengemukakan bantahan sebagai sokongan kepada komuniti nelayan serta kebimbangan terhadap alam sekitar.

Selain SAM, Jabatan Perikanan, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Institut Penyelidikan Perikanan yang berada dalam EIATRC turut membantah projek berkenaan.

Mageswari.

“Kami berasa kecewa kerana laporan EIA projek itu diluluskan walaupun terdapat kebimbangan yang ditimbulkan nelayan termasuk Persatuan Nelayan Pulau Pinang (PEN Mutiara), Persatuan Nelayan Kawasan Selatan Pulau Pinang (PNKSPP) dan semua unit perkampungan nelayan di kawasan terbabit.

“Pelbagai pihak menyuarakan kebimbangan mereka bahawa penambakan laut akan menjejaskan sektor perikanan, mata pencarian nelayan dan keselamatan makanan kerana tapak penambakan mempunyai biodiversiti marin yang tinggi,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Tambah Mageswari, kesan penyumberan pasir dan bahan isian lain seperti batu dengan projek yang dicadangkan terdiri daripada tiga pulau tebus guna dengan keluasan keseluruhan 1,821.1 hektar memerlukan bahan isian dianggarkan 207,000,000 meter padu antara aspek penting yang dikecualikan ketika menilai projek itu.

“Malah projek penambakan berintensif karbon dan intensif modal itu bertentangan dengan keperluan perancangan hari ini yang memerlukan pembangunan berdaya tahan iklim.

“Sehubungan itu, kita gesa Ketua Pengarah JAS memberi alasan berhubung keputusan itu selain kerajaan negeri perlu mendedahkan kepada umum 71 syarat yang dikenakan,” tegasnya.

Terdahulu, Kerajaan negeri Pulau Pinang berjaya memperoleh Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA dan kelulusan daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi projek tambakan laut Selatan Pulau Pinang atau Penang South Islands (PSI).

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kelulusan daripada JAS itu dimaklumkan melalui Setiausaha Kerajaan Negeri menerusi surat pada 11 April  lalu. – MalaysiaGazette

Projek tambak laut di P.Pinang dapat kelulusan EIA