Tangkap layar rakaman CCTV kaunter jamin Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia (PKPMP) hari ini mengeluarkan rakaman video dari kamera litar tertutup (CCTV) bagi menyokong dakwaan kaunter jaminan mahkamah di sini tidak ditutup seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Sebaliknya dalam satu rakaman yang dimuat dalam laman sosial PKPMP hari ini kelihatan kaunter masih dibuka sehingga pukul 4 petang Khamis minggu lalu.

“Merujuk kepada kenyataan media yang dikeluarkan oleh pejabat ini bertarikh 23 April 2023.

“Untuk mengesahkan penjelasan di dalam kenyataan media tersebut, bersama-sama ini dikemukakan rakaman litar tertutup yang menunjukkan bahawa pada 20 April 2023, kaunter ikat jamin di Mahkamah Kuala Lumpur (yang terletak bertentangan dengan mesin ATM Maybank) masih beroperasi dan orang awam masih berurusan sehingga jam 4.00 petang,” kata kenyataan itu.

Jelas kelihatan terdapat pergerakan keluar masuk oleh orang awam sekitar waktu itu di premis berkenaan.

Tindakan ini dilakukan oleh PKPMP selepas Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng tampil tampil menggesa pihak berkuasa mengeluarkan bukti berbentuk rakaman CCTV berkaitan dakwaan adanya enam individu tidak boleh membayar ikat jamin dan terpaksa meringkuk dalam penjara ketika cuti hari raya lepas.

Sebelum ini, media melaporkan, enam individu itu merupakan antara 10 tertuduh yang meminta dibicarakan atas pertuduhan konspirasi jenayah dengan niat menipu.

Peguam tertuduh, Alvin Tan, mendakwa kaunter ikat jamin ditutup pukul 2.53 petang, tidak lama selepas majistret membenarkan tertuduh terbabit masing-masing diikat jamin RM4,000.

Notis di kaunter ikat jamin menyatakan waktu operasi adalah hingga pukul 4.30 petang.

Susulan daripada dakwaan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, isu pentadbiran yang mengganggu hak individu untuk diikat jamin mengikut undang-undang berisiko melanggar prinsip kardinal.

Beliau menjelaskan, ini kerana hak untuk diikat jamin adalah hak asasi manusia dan berperlembagaan yang perlu kerajaan hormati tanpa sebarang persoalan.

Justeru atas dasar itu, katanya, isu berhubung dakwaan penutupan awal kaunter ikat jamin di sebuah mahkamah di sini pada Khamis lalu sehingga menyebabkan enam tertuduh terkandas di penjara akan diteliti dalam masa terdekat.

“Hingga kini, semakan masih dibuat dengan pentadbiran mahkamah berhubung perkara berkenaan,” ujarnya. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Ahli Parlimen Kepong desak rakaman CCTV kaunter jamin mahkamah didedahkan