Keadaan tanah runtuh berdekatan bangunan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) milik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang berlaku kira-kira pukul 1 petang ketika di, Jalan Duta, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 25 APRIL 2023.

KUALA LUMPUR – Bangunan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) yang terjejas dengan insiden tanah runtuh pada 25 April lalu dijangka boleh dibuka  dalam tempoh kira-kira tiga minggu lagi.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nantha Linggi berkata, sekiranya segala kerja-kerja membaik pulih tapak tanah runtuh itu berjalan dengan baik mengikut masa yang ditetapkan, bangunan MACA boleh kembali kepada operasi sepenuhnya pada 18 Mei depan.

“Berdasarkan penerangan yang telah diberikan oleh Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Ahmad Redza Ghulam Rasool dan juga pasukan Cawangan Kejuruteraan Cerun Jabatan Kerja Raya (JKR) kepada saya hari ini, pembukaan semula kawasan itu akan dibuat selepas bekalan elektrik dan air serta sistem kumbahan dipulihkan, selain laluan sementara siap dibina.

“Secara spesifik, tempoh tiga minggu itu diperlukan bagi membolehkan kerja sementara dilaksanakan, antaranya ialah kerja pemasangan tarpaulin sheet (kanvas) ke atas permukaan cerun terdedah yang bermula pada 26 April 2023.

“Pemasangan cerucuk besi dan pembinaan laluan akses sementara selama dua minggu bermula 28 April 2023 – 12 Mei 2023,” katanya menerusi laman Facebook rasminya hari ini.

Tambah Alexander, pemasangan Early Warning System (EWS) atau sistem amaran awal sebanyak enam nos telah dibuat pada Khamis 27 April lalu manakala empat nos lagi akan dipasang setelah kerja-kerja penanaman cerucuk besi selesai sepenuhnya.

Justeru pemasangan utiliti sementara akan mengambil masa dua minggu yang melibatkan TNB, Air Selangor, Telekom Malaysia dan sistem air kumbahan.

“Dalam pada itu, saya juga dimaklumkan, kerja-kerja pembaikan kekal dijangka mengambil masa maksimum selama dua tahun.

“Ia akan melibatkan kerja mengukur, kajian penyiasatan tapak (SI) di lokasi kejadian runtuhan, proses perolehan dan kerja pembinaan selama 12 bulan.

“Oleh demikian saya memohon kerjasama semua pihak supaya mematuhi arahan pihak berkuasa bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” tegasnya.- MalaysiaGazette