KUALA LUMPUR – MCA menegaskan, rundingan agihan kerusi dengan Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Paya Negeri (PRN) Pulau Pinang mesti melibatkan semua parti komponen dalam Barisan Nasional (BN).
Naib Presiden MCA, Datuk Tan Teik Cheng berkata, tindakan mengetepikan parti-parti komponen dalam rundingan itu adalah tidak selaras dengan semangat Kerajaan Perpaduan.
Beliau yang juga Pengerusi MCA Pulau Pinang memberitahu, semua parti komponen BN mesti dilibatkan dalam rundingan yang penting itu.
“MCA meminta Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow untuk mengaturkan mesyuarat antara kedua-dua gabungan politik dengan melibatkan semua parti komponen.
“Kami menegaskan sekali lagi bahawa semua rundingan mesti melibatkan setiap parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan demi memelihara integriti dan kepercayaan antara parti,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Teik Cheng mengulas kenyataan Kon Yeow kelmarin yang dilaporkan berkata, PH Pulau Pinang akan mengadakan mesyuarat dengan UMNO bagi membincangkan agihan kerusi untuk PRN.
Beliau menambah, sebelum ini, Kon Yew beberapa kali berkata iaitu pada 9 dan 13 April lalu bahawa rundingan pembahagian kerusi akan diadakan antara PH dan BN.
Malah, katanya, pada 9 April, Kon Yeow menekankan bahawa tiada rundingan secara berasingan akan dibuat antara parti.
“Jadi, apa penjelasan Kon Yeow mengenai mesyuarat akan datang bersama UMNO?” soalnya. – MalaysiaGazette