KUANTAN – Dua kali tangisan bayi kedengaran di kawasan perumahan kampung Peramu, Tanjung Lumpur di sini menimbulkan persoalan kepada seorang wanita namun pada mulanya menyangka ia datang daripada kawasan kejiranannya.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan busu berkata, saksi yang mendengar tangisan bayi pada pukul 7.30 pagi sekali dan tiga jam selepas itu iaitu pukul 11.30 pagi.
Menurutnya, saksi wanita berusia 52 tahun itu akhirnya menemukan seorang bayi lelaki kira-kira 10 meter dari sebuah kilang berhampiran rumahnya ketika sedang duduk bersama menantunya di hadapan rumahnya.
”Apabila saksi terdengar tangisan bayi namun tidak ada mengesyaki apa-apa dan beranggapan tangisan tersebut adalah daripada rumah jirannya . Pada pukul lebih kurang 11.30 saksi ini telah pergi mencari suara tersebut lalu menjumpai seorang bayi lelaki yang ditinggalkan.
”Bayi berkenaan ditemui lebih kurang 10 meter daripada jarak rumah iaitu berhampiran dengan pagar sebuah kilang di mana bayi tersebut diletakkan atas kayu.
”Saksi menyatakan bayi tersebut dalam keadan berdarah serta masih mempunyai tali pusat dan terdapat kerengga telah hinggap pada tubuh badan bayi tersebut kemudian meminta bantuan kenalan yang bertugas bertugas di kilang untuk menghubungi polis,” katanya ketika dihubungi.
Jelasnya, bayi itu telah dibawa ke HTAA Kuantan oleh Polis Peronda MPV IPD Kuantan untuk mendapatkan rawatan dan kini ditempatkan di wad kanak-kanak untuk pemeriksaan lanjut.
“Hasil siasatan mendapati terdapat kamera litar tertutup (CCTV) di kilang tetapi CCTV tidak menghala ke tempat bayi lelaki yang dijumpai.
”Pihak Forensik IPK Pahang telah hadir di tempat kejadian dan telah mengambil swab darah yang dijumpai di tempat kejadian, keadaan bayi kini stabil dan sedang dirawat di Wad Kanak-kanak HTAA,” tambahnya.
Wan Zahari berkata siasatan lanjut mendapati berkemungkinan suspek telah melahirkan bayi di lokasi lain dan bertindak menyembunyikan kelahiran dengan membuang bayi tersebut di tempat kejadian pada awal pagi tadi.
Manakala pihak doktor di HTAA yang memeriksa bayi menganggarkan bayi tersebut dilahirkan kurang tiga jam sebelum ianya ditemui oleh orang awam.
Kes masih dalam siasatan lanjut dan diklasifikasi di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan di mana modus operandi suspek menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi yang dilahirkan. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: