KUALA LUMPUR – Pelari menara nombor satu negara, Soh Wai Ching meneruskan pencapaian luar biasanya apabila mengungguli cabaran menaiki anak tangga bangunan Menara Spinnaker setinggi 170 meter di Portsmouth, United Kingdom, Jumaat.
Lebih manis, Wai Ching melakukan larian 560 anak tangga dalam masa dua minit 18 saat (s) sekali gus menyamai rekod terdahulu yang dicatatkan oleh atlet tuan rumah, Marks Sims, pada 2017.
Pencapaian terbaru ini juga menandakan kemenangan ke-21 berturut-turut untuk Wai Ching dalam pertandingan larian menara sejak kemenangan pertamanya di One World Trade Center, New York, pada 5 Jun tahun lalu.
“Sebaik sahaja melepasi garisan penamat, saya segera berlutut dan menarik nafas, kemudian bertanya kepada kru tentang catatan masa dan mereka memberitahu saya masa adalah 2:18s.
“Saya secara peribadi berpendapat bahawa catatan 2:18s masih boleh diatasi dan mungkin boleh mencapai masa bawah 2:10s dengan lebih banyak latihan ketahanan kelajuan yang disesuaikan untuk larian ini,” kata atlet berusia 28 tahun itu menerusi catatannya di laman web rasminya.- BERNAMA