Bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar

SHAH ALAM – Bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar mengesahkan anaknya, Nurul Syaz­wani sudah menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sejak Februari lalu.

Bukan itu sahaja, bahkan bekas ahli Parlimen Tanjong Karang juga memberitahu anak perempuannya itu juga kini diberi jawatan penting sayap parti tersebut beberapa bulan selepas menyertai parti berkenaan.

“Saya tak menghalang, itu kehendak dia, dia masuk Bersatu Tanjong Karang Februari lalu dan sekarang telah dilantik menjadi Ketua SriKandi Muda Tanjong Karang,” katanya kepada MalaysiaGazette, di sini, hari ini.

Semalam, media melaporkan bahawa anak perempuan Noh dijangka bertanding dalam PRN Selangor, namun di bawah tiket Bersatu.

Nurul Syaz­wani dikatakan akan bertan­ding di salah sebuah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Tanjong Karang.

Dalam pada itu, Noh juga mengesahkan bahawa anaknya itu tersenarai sebagai salah satu calon yang akan bertanding dalam PRN Selangor menggunakan tiket Bersatu.

“Dia bertanding atau tidak itu terserah kepada pucuk pimpinan PN, tapi yang saya dimaklumkan dia salah seorang tersenarai.

“Tapi kalau dia bertanding tentu saya akan sokong dia,” katanya.

Sementara itu, Noh mendedahkan selain beliau, anaknya juga pernah dikenakan surat tunjuk sebab oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO ketika beliau dijatuhi hukuman gantung keahlian parti selama enam tahun.

“Anak saya memang sudah keluar, anak saya dulu Jawatankuasa Puteri Tanjong Karang, beliau pernah diberi peluang berucap mewakili kumpulan mahasiswa di Perhimpunan Agung Puteri UMNO.

“Dia anak muda, dia juga peguam, dia juga kena surat tunjuk sebab, saya dengan anak saya memang sudah bincang pun, kita pergi hari Isnin (sesi pendengaran Lembaga Disiplin UMNO).

“Tiba-tiba saya kena tindakan (gantung enam tahun) kemudian minta dipecat, itu yang anak saya tak boleh terima. Dia kata mahkamah belum bicara, tapi sudah kena hukuman, terus dia buat keputusan keluar UMNO dan akhirnya masuk Bersatu,” katanya. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. rakyat selangor yg dulu nya undi PN sekarang rasa menyesal..
    apabila terkoak kebejatan pemimpin pn semasa mentadbir negara.

Comments are closed.