Salahuddin bersalam dengan Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) memohon maaf kepada UMNO berhubung kenyataan Pengarah Komunikasi parti itu, Khalid Abdul Samad mengenai pengampunan diraja terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, adalah satu perkara biasa dalam politik apabila ada pihak terlanjur dalam mengeluarkan kenyataan.

Tambah beliau, bukan sesuatu yang memalukan bagi pihak Amanah untuk membuat permohonan maaf dalam isu yang melukakan UMNO.

“Bersempena dengan Hari Raya Aidilfitri ini saya bagi pihak Amanah memohon maaf dia atas kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Komunikasi.

“Sekiranya kenyataan itu menyinggung atau melukakan UMNO maka kami mohon maaf.

“…Sebarang keterlanjuran itu bagi saya biasalah bagi orang politik. Kadang-kala kita terlanjur dan tidak ada malunya kita memohon maaf sekiranya ianya melukakan,” kata Salahuddin.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Aidilfitri Bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.

Permohonan maaf itu dilakukan Salahuddin ketika Ahmad Zahid berada di sebelahnya.

Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu, beliau berharap dengan permohonan maaf  itu isu berkenaan dapat diselesaikan.

“Saya sendiri bersama dengan Presiden UMNO dan tadi berkunjung ke rumah terbuka Timbalan Presiden MNO.

“Saya menyatakan perkara sama, elok kita selesaikan dan move forward untuk perpaduan negara dan rakyat,” kata Salahuddin.

Ditanya sama ada Khalid akan dikenakan sebarang tindakan disiplin, Salahuddin berkata, sudah memadai untuk parti itu memohon maaf kepada UMNO.

“Yang peting bagi saya ialah memperkukuhkan posisi kita dalam kerajaan. Kami sibuk sekarang ini untuk menyelesaikan isu rakyat.

“Kita sedang berhadapan dengan enam Pilihan Raya Negeri, kita beriltizam memperkukuhkan jentera kita, ukhuwah kita bersama kekuatan parti kita dalam perpaduan. Itu lebih penting bagi saya,” kata Salahuddin.

Khalid sebelum ini mengeluarkan kenyataan bahawa Amanah merayu kepada Yang di-Pertuan Agong dan Lembaga Pengampunan agar menolak permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk diampun dan dibebaskan dari penjara.

Menurut Khalid, parti itu berpendirian, hanya dengan cara itu sahaja nama baik negara dan komitmen untuk memerangi rasuah dan penyalahgunaan kuasa dapat dijaga.

Bagaimanapun kenyataan tersebut mendapat reaksi kurang menyenangkan daripada kepimpinan UMNO. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. UMNO ni walau terkutuk perlakuan Welanon Welanon tidak boleh perbetulkan…
    ada minta maaf bagi pihak Peribadi… tu yang menyentuh tu.. pehtu kira settle tiada tindakan lanjut macam kalau seseorang itu Menyamun maka ucapkan minta maaf maka terlerailah dan bersihlah dia . .

Comments are closed.