konsensus nasional mohd zuhdi marzuki
Mohd Zuhdi Marzuki

KUALA LUMPUR – Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marzuki mencadangkan agar Konsensus Nasional dicapai dalam kalangan parti-parti politik untuk melihat secara menyeluruh persoalan berkaitan pertuduhan politik.

Menurut beliau, konsensus itu merangkumi perkara yang berkaitan dengan pengampunan dan penarikan balik pertuduhan.

Mohd Zuhdi berpandangan, sudah sampai masanya semua parti politik terutamanya yang sedang berkuasa berhenti membuat pertuduhan politik yang bermotifkan menumbangkan lawan secara membina persepsi yang tidak benar dan membunuh karakter seseorang.

“Bukalah lembaran baharu politik dengan berpolitik secara matang dan sejahtera.

“Pada ketika yang sama, melalui Konsensus Nasional nanti, carilah jalan yang terbaik untuk memulakan agenda pencegahan yang menyeluruh bagi memastikan politik Malaysia berintegriti serta bebas dari rasuah dan salah guna kuasa,” katanya dalam hantaran Facebook, malam tadi.

Beliau mengulas mengenai perkembangan terkini melibatkan beberapa pemimpin politik di negara ini termasuk permohonan pengampunan diraja oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak serta pertuduhan terhadap Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mohd Zuhdi percaya bahawa usaha untuk mendukung integriti dan membasmi rasuah tidak dapat dilunaskan dengan pertuduhan politik.

Sebaliknya, beliau memberitahu, ia dapat dilunaskan melalui agenda yang bersifat mencegah seperti menggubal Akta Kawalan Dana Politik, mekanisme perisytiharan harta anggota pentadbiran yang tepat, membebaskan agensi penguatkuasaan serta sistem perundangan dari cengkaman eksekutif dan mewujudkan institusi hisbah/ mazalim.

“Pertuduhan politik tidak dapat menyelesaikan masalah integriti dalam berpolitik dan politik wang.

“Parti-parti yang berkuasa akan berusaha mendakwa lawan politik mereka, dengan mengerahkan agensi-agensi berkaitan di bawah kerajaan yang mereka terajui sepertimana yang dilakukan terhadap Bersatu sekarang,” jelasnya.

Mohd Zuhdi berkata, persoalan sama ada tuduhan itu betul atau tidak bukanlah perkiraannya, tetapi yang penting persepsi politik dapat dibina untuk memastikan lawan politik kecundang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast