fb Paetongtarn Shinawatra

BANGKOK – Paetongtarn Shinawatra, calon Perdana Menteri bagi Pilihan Raya Umum Thailand akan datang, selamat melahirkan seorang bayi lelaki hanya dua minggu sebelum pilihan raya berlangsung.

Paetongtarn, yang merupakan anak bongsu kepada bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra memuat naik gambar bersama pasangannya dan bayi mereka yang diberi nama Prutthasin Sooksawas di media sosial pada Isnin.

“Helo, nama saya Prutthasin Sooksawas, nama panggilan Thasin. Terima kasih atas sokongan anda semua.

“Dalam beberapa hari lagi, tunggu ibu saya kembali pulih, saya akan berjumpa dengan media,” menurut hantaran itu.

Paetongtarn yang berusia 36 tahun yang juga dikenali dengan gelaran “Ung Ing” merupakan seorang daripada tiga calon perdana menteri dari Parti Pheu Thai pada Pilihan Raya Umum 14 Mei.

Beliau menduduki tempat pertama atau kedua dalam tinjauan pendapat sebagai calon perdana menteri.

Sementara itu, dalam ciapan melalui @ThaksinLive, Thaksin berkata beliau akan meminta kebenaran untuk kembali ke tanah air kerana mahu menjaga cucunya.

Bekas perdana menteri itu berkata beliau sangat gembira menerima berita mengenai kelahiran cucu ketujuhnya namun beliau berkata semua cucunya telah dilahirkan semasa beliau hidup dalam buangan.

“Saya akan meminta izin untuk pulang menjaga cucu memandangkan usia saya akan mencecah 74 tahun Julai ini. Jumpa lagi,” katanya menerusi ciapan di Twitter.

Thaksin, yang berkhidmat sebagai perdana menteri dari 2001 hingga 2006, hidup dalam buangan sejak 2008, menghabiskan sebahagian besar masanya di Dubai, selepas kerajaannya digulingkan oleh pasukan tentera yang diketuai Jeneral Sonthi Boonyaratglin semasa beliau menghadiri Perhimpunan Agung PBB di New York pada September 2006.

Beliau meninggalkan Thailand pada Ogos 2008 untuk mengelak daripada berdepan hukuman penjara.

Mahkamah Agung menjatuhkan hukuman penjara dua tahun tanpa kehadirannya kerana salah guna kuasa.

Sementara itu, adik Thaksin dan bekas Perdana Menteri Yingluck Shinawatra turut mengucapkan tahniah kepada Paetongtarn dan suaminya di atas kelahiran bayi kedua mereka.

“Saya percaya datuk (Thaksin) tidak sabar-sabar untuk bertemu cucunya. Saya menantikan hari untuk berjumpa kamu, cucu saya,” katanya dalam ciapan.

Yingluck juga hidup dalam buangan selepas kerajaannya digulingkan dalam rampasan kuasa tentera yang diketuai oleh Jeneral Prayut Chan-o-cha.

Prayuth, yang menjadi perdana menteri selepas pilihan raya 2019, berada di tempat keempat dalam tinjauan calon perdana menteri pada pertengahan April.- BERNAMA