Gambar hiasan

JOHOR BAHRU – Langkah Kementerian Kesihatan (KKM) mengesyorkan pemakaian pelitup muka dilaksanakan semula di semua sekolah berikutan  peningkatan kembali kes Covid-19 mendapat pelbagai reaksi dalam kalangan ibu bapa.

Seorang pekerja hospital, Azizah Ahmad, 34, bersetuju sekiranya langkah itu dikuatkuasakan semula kerana bimbang penularan semula pandemik berkenaan.

Katanya, langkah awal membendung penularan apa sahaja wabak termasuk Covid-19 harus dicegah daripada awal untuk mengelak ia menjadi semakin buruk.

Azizah Ahmad

Jelas beliau, ibu bapa dan masyarakat harus sedar dan perlu mengambil iktibar dengan penularan yang pernah melanda negara sebelum ini.

“Pada saya, pemakaian pelitup muka dan hidung ini masih penting lebih-lebih lagi kita baru menyambut perayaan yang mana ada diantara kita yang batuk, selesema.

“Jadi kalau kita pakai pelitup itu dapat jugalah membantu untuk kita mengawal wabak berkenaan. Pada saya sebagai ibu bapa pemakaian pelitup muka dan hidung ini perlu teruskan.

“Saya sendiri bekerja di hospital sehingga sekarang pun diwajibkan untuk guna pelitup muka dan mulut,” katanya lagi.

Jelas Azizah, walaupun pihak sekolah memberi pilihan kepada pelajar sama ada menggunakan pelitup muka  atau pun tidak – ibu bapa harus peka dengan keadaan cuaca masa ini.

Keengganan dan memandang remeh perkara itu dibimbangi menjadikan negara bertambah buruk.

“Terpulang pada ibu bapa kerana kita faham budak-budak kalau pakai mask ini di sekolah dia rasa panas tetapi bagi saya sendiri yang bekerja di hospital  pemakaiannya masih perlu,” katanya.

Sementara itu, bagi Mazura Hassan,38, lebih memilih untuk tidak menggunakan pelitup muka  untuk anaknya.

Menurut beliau, pemakaian pelitup muka hanya digunakan sepenuhnya sekiranya satu garis panduan mengenai pemakaian itu telah diputuskan kerajaan.

Mazura Hassan

“Bagi saya, pemakaian pelitup muka ke atas anak-anak ini terpulang pada ibu-bapa. Bukan tak pakai pelitup melanggar peraturan atau tidak sayang anak tetapi kerajaan juga perlu ada satu kata putus yang benar-benar muktamad  pelaksanaan itu diwajibkan.

“Sekarang ini macam kami ada tanya di grup sekolah mengenai perkara itu tetapi pihak sekolah pun memberitahu ia tidak wajib dan boleh pakai dan tak nak pakai mask pun boleh.

“Jadi saya mengambil pendekatan kekalkan dengan cara sebelum ini (tidak memakai pelitup muka dan hidung),” katanya.

Begitu juga pandangan seorang bapa, Hasham Ismail, 36, yang turut memilih untuk mengekalkan tidak menggunakan pelitup muka kepada anaknya.

Katanya, sebelum mengambil keputusan berkenaan dia dan isteri telah menanyakan perkara itu kepada pihak sekolah.

Hasham Ismail

“Macam ini saya rasa ramai yang sudah clear mengenai hal ini dan kami sebagai ibu bapa pun telah tanya kepada pihak sekolah wajib atau tidak pakai mask.

“Apabila pihak sekolah kata tidak wajib, saya ambil keputusan untuk kekalkan sahaja tidak memakai mask terhadap anak saya dan saya sebagai bapa sudah tentu mengharapkan situasi ini baik-baik sahaja,” katanya.

Tinjauan MalaysiaGazette di Sekolah Kebangsaan Taman Molek di sini pagi tadi mendapati ada sebahagian murid masih mengenakan pelitup muka namun hampir separuh tidak memakainya.

KKM mengesyorkan pemakaian pelitup muka dilaksanakan semula di semua sekolah berikutan kebimbangan peningkatan kembali kes Covid-19 selain penularan varian baharu dikenali sebagai XBB.1.16 atau Arcturus.

Susulan itu, laporan sebelum ini menyatakan Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa akan mengadakan pertemuan segera dengan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek bagi membincangkan perkara itu untuk mengekang penularan semula Covid-19 di sekolah.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast