Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd. Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) tidak perlu meminta maaf kepada UMNO berikutan kenyataan supaya permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak perlu ditolak.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Dr. Puad Zarkashi berkata, UMNO tidak langsung merasa tersinggung dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Eksekutif Pusat MUDA itu.

Beliau mendakwa, parti pimpinan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman itu bukan sebahagian Kerajaan Perpaduan dan kelangsungan parti itu bergantung terhadap ihsan PKR sahaja.

“MUDA siang siang lagi cakap tidak akan minta maaf pada UMNO. Tidak perlu minta maaf macam parti PAN. UMNO tidak akan tersinggung dengan MUDA.

“Ini kerana MUDA bukan ahli Kerajaan Perpaduan. MUDA masih ‘mengemis’ untuk masuk Pakatan Harapan. Menang pun dengan ihsan PKR. MUDA menumpang nyawa untuk hidup,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Jawatankuasa Eksekutif Pusat MUDA yang membantah sebarang gerakan untuk menyelamatkan mana-mana pemimpin dirujuknya ‘kleptokrat’ yang didakwa menyusahkan dan menggadai negara.

Puad mendakwa MUDA bukan sebuah parti suci kerana presiden parti itu juga diseret ke mahkamah atas pertuduhan rasuah.

“Adakah MUDA parti suci bersih? Syed Saddiq masih Presiden MUDA walaupun sudah didakwa di mahkamah kerana rasuah. Najib letak jawatan Presiden UMNO bila BN hilang kuasa.

“Najib tidak bertanding PRU-15. Syed Saddiq bertanding di Muar.

“Percayalah jika dihukum bersalah nanti Syed Saddiq kekal presiden dan bertanding PRU-16. MUDA jangan terlajak hipokrit,” kata Puad.

Dalam kenyataan sebelum ini, Jawatankuasa Eksekutif Pusat MUDA berkata, pengampunan ke atas Najib akan membawa mesej bahawa mana-mana individu berpengaruh yang mempunyai hubungan kuasa, tidak perlu gusar dengan undang-undang.

Jawatankuasa itu berkata, pihaknya tidak bercadang memohon maaf kepada UMNO atas pendirian yang diambil.- MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.