Husain Awang
Husain Awang

KUALA LUMPUR – Rakyat Terengganu yang bekerja dengan pendapatan maksimum RM4,000 sebulan layak membuat pinjaman pembelian motosikal tanpa faedah, kata Pesuruhjaya Pas negeri, Senator Datuk Husain Awang.

Malah, parti itu turut menyediakan khairat kematian sebanyak RM500 untuk yang meninggal dunia.

Demikian dua daripada 10 janji Pas yang ditawarkan dalam manifesto negeri itu jika menang dan mengekalkan pentadbiran pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.

Menurut beliau, lapan lagi janji dalam manifesto itu akan diumumkan secara berperingkat kepada rakyat Terengganu.

“Setakat ini, saya boleh maklumkan dua janji sahaja, manakala lapan lagi akan diumumkan pada Program Himpunan Teguh Pertahan (HTP) akan datang.

“Janji ini akan kita laksanakan sekiranya Pas masih memerintah Terengganu pada PRN ini.

“Janjinya ialah kita akan sediakan kemudahan pinjaman pembelian motosikal secara Qardul Hassan untuk kerjaya maksimum RM4,000 dan khairat kematian RM500 untuk setiap kematian,” katanya.

Kata Husain, Pas adalah parti yang berpegang pada janji dan manifesto merupakan satu perkara yang wajib dilaksanakan.

Manifesto ini, katanya, satu dokumen mengenai apa yang akan dilakukan oleh mana-mana parti apabila diberi undi, keyakinan dan kemenangan dalam pilihan raya umum.

Jelas beliau, ini juga merupakan akujanji yang mesti ditunai dalam bentuk apa yang mampu parti berjanji dan lakukan.

“Kalau kita tidak laksanakan apa yang kita telah janjikan, maka kita termasuk dalam golongan orang munafik.

“Kerajaan Pas Terengganu setakat ini telah melunaskan 20 manifesto utamanya pada kempen Pilihan Raya Umum ke-14 tahun 2018 sebaik diberi mandat oleh rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette