Akramuddin menunjukkan kesan perbuatan vandalisme menconteng dinding di bangunan bersejarah berusia lebih 500 tahun di Gereja St Paul, Bukit Melaka, Banda Hilir, Melaka.

MELAKA – Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) bercadang memperkenalkan kaedah kunci atau pemberian sijil kepada pengunjung Gereja St Paul di Bukit St Paul di Banda Hilir di sini bagi mengatasi perbuatan vandalisme menconteng monumen bersejarah itu.

Pengerusi Lembaga Pengarah PERZIM, Datuk Akramuddin Ab. Aziz berkata, kaedah itu banyak digunakan di lokasi tumpuan pelancong dunia termasuk Tembok Besar Negara China yang dilihat boleh diperkenalkan di lokasi pelancongan  di Bukit Melaka itu.

Selain itu,  pihaknya dengan kerjasama Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan Jabatan Warisan Negara akan memperketatkan lagi kawalan bagi mengekang perbuatan vandelisme menconteng dinding bangunan berusia lebih 500 tahun itu.

“Saya akan cadangkan kepada pihak pengurusan PERZIM, seperti kalau kita pergi di Tembok Besar China, ada contoh kunci yang nak menunjukkan kehadiran pelancong ke sana.

“Jadi kita kena fikirkan dan berbincang dengan MBMB dan Jabatan Warisan Negara untuk buat kaedah sedemikian dan selain kunci mungkin kita boleh kita beri pelancong sijil supaya secara tidak langsung menjadi tanda kenangan kehadiran mereka di sini,” katanya.

Datuk Akramuddin Ab. Aziz

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melakukan tinjauan di bangunan peninggalan Portugis sejak 1520 di Bukit Melaka hari ini.

Hadir sama, Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman dan Pengurus Besar PERZIM Fadhilah Md. Saleh.

Semalam, media melaporkan kekecewaan pengunjung dan peniaga di lokasi diiktiraf Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) itu apabila ia menjadi mangsa perbuatan vendalisme.

Perbuatan itu dikesan apabila dinding monumen itu diconteng dengan tulisan oleh individu tidak bertanggungjawab untuk menunjukkan kehadiran mereka di antara lokasi pelancongan tertua negara itu.

Mengulas lanjut, Akramuddin berkata, MBMB telah melakukan lapan kali kerja-kerja pembaikan bagi memastikan lokasi pelancongan itu tidak dicemari perbuatan vendalisme sejak tiga tahun lalu.

“Sebenarnya, kita ada juga melihat kaedah pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) namun ianya tidak praktikal kerana memerlukan pemantauan 24 jam untuk mengesan individu yang melakukan vandalisme.

“Justeru, langkah lain adalah kita akan menggiatkan kempen anti vandalisme atau ‘Katakan Tidak Kepada Vandalisme’ di kawasan bersejarah seluruh negeri ini,” katanya.

Tambahnya, mereka yang merosakkan harta benda awam boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 112 (2) Akta Warisan Kebangsaan 2005 yang mana sabit kesalahan boleh dipenjara selama lima tahun atau denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya sekali. – MalaysiaGazette.