Seorang gadis remaja yang lari dari rumah penjaga di Meru, Klang ditemui di Hutan Melintang, Perak.

KUALA LUMPUR – Seorang remaja perempuan yang melarikan diri daripada rumah penjaganya di Klang, Selangor ditemui di Hutan Melintang, Perak.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, pihaknya menerima aduan berkaitan seorang remaja perempuan berusia 17 tahun yang disyaki melarikan diri daripada penjaganya di Meru, Klang pada jam 3.57 petang Sabtu lalu.

Katanya, berikutan itu siasatan dijalankan dan polis mendapati remaja tersebut menghidapi masalah dyslexia iaitu masalah cara otak berfungsi dan attention deficit hyperactive disorder atau sindrom kurang daya tumpuan dan hiperaktif yang mana ia merupakan masalah kecelaruan tingkah laku yang biasa terjadi dalam kalangan kanak-kanak.

“Siasatan mendapati mangsa pernah tiga kali melarikan diri daripada rumah.

“Kesemua kejadian tersebut menerusi siasatan mendapati gadis itu yang pernah melarikan diri sebelum ini telah dijumpai di rumah kawan kerana mahu mencari ketenangan untuk diri sendiri dan kemudiannya mangsa pulang ke rumah selepas dijumpai polis.

“Polis berusaha mengesan mangsa yang dilaporkan berada di sekitar Ampang dan Damansara.

“Hasil maklumat awam kini mangsa telah dijumpai di Hutan Melintang, Perak dalam keadaan baik, sihat dan selamat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Vijaya Rao, polis akan membuat pemeriksaan di hospital terlebih dahulu sekiranya terdapat perbuatan jenayah ke atas remaja tersebut sebelum diserahkan kepada penjaganya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast