Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa bergambar kenangan bersama barisan artis pada Majlis Pelancaran Sitcom Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) di Kementerian Kesihatan, Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 03 MEI 2023.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) akan menerbitkan sitkom pada tahun ini untuk menyebarkan pembudayaan gaya hidup sihat dalam bentuk santai dan menghiburkan.

Menterinya, Dr. Zaliha Mustafa berkata, pihaknya sentiasa berusaha mencari idea-idea baharu bagi membantu rakyat mencapai dan mengekalkan taraf kesihatan yang sihat menerusi mesej promosi dan pendidikan kesihatan.

“Bagi mencapai hasrat tersebut, pelbagai kempen dilaksanakan di bawah Teras 1ANMS iaitu memantapkan Promosi Pembudayaan Hidup Sihat dengan menggunakan pelbagai pendekatan dan kaedah media seperti media sosial, media konvensional, media cetak dan media luar serta digital.

“Tahun 2023 menyaksikan kelainan apabila mesej kesihatan disampaikan menerusi penerbitan sitkom. Setiap sitkom yang disampaikan adalah berdurasi 30 minit akan memberi mesej secara santai kepada penonton dengan harapan mesej yang disampaikan itu meninggalkan kesan dan secara tidak langsung dapat diamalkan dalam kehidupan seharian.

“Sitkom ini bukan sekadar hiburan semata-mata tetapi saya yakin dengan lakonan dan penyampaian sepontan dapat mencapai objektif dan harapan Kementerian Kesihatan untuk melahirkan masyarakat yang lebih sihat,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap pada majlis Pelancaran Sitcom Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS), di sini, hari ini.

Menurut Zaliha, sitkom berkenaan terdiri daripada lapan episod dibintangi oleh pelakon seperti Liza Abdullah, Nadia Mustafar, Acong Sweetchild dan Jasmin Hamid.

Tambah beliau, sitkom itu akan ditayangkan di  TV1 pada jam 10.30 malam Isnin hingga Khamis bermula 8 hingga 18 Mei ini.

“Jika Sitkom ini mendapat sambutan menggalakkan kita akan memikirkan untuk menukar ke siasaran waktu perdana,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast