SEBENARNYA tiada vaksin khas mencegah malaria.- Gambar hiasan.

JANGKITAN malaria zoonotik mencatatkan peningkatan agak signifikan yang berpotensi menyebabkan maut sekiranya lewat mendapatkan rawatan.

Media melaporkan baru-baru ini Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa dipetik sebagai berkata, 404 kes malaria yang dilaporkan pada 2022, 89.2 peratus ialah kes malaria zoonotik sementara selebihnya merupakan kes malaria import dan faktor-faktor lain.

Kata Dr Zaliha, sebanyak sembilan dari 11 kes kematian malaria yang direkodkan pada tahun lalu melibatkan malaria zoonotik dan dua kes selebihnya ialah malaria import.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam laporan pada 2019 melaporkan penyakit malaria ternyata berbahaya dan membunuh.

Kata laporan itu lagi, pada 2019 parasit bawaan nyamuk Anopheles ini meragut 409,000 nyawa selain menyerang lebih 229 juta penduduk dunia.

Pakar Perubatan Dalaman Hospital Pakar KPJ Perlis, Dr Teoh Win Sern berkata, gejala dan simptom penyakit malaria pada manusia biasanya bermula dari hari kelapan selepas infeksi termasuk demam, sakit kepala dan kesejukan.

DR Teoh Win Sern

“Sekiranya tidak mendapatkan rawatan segera, gejala dan simptom malaria menjadi lebih serius kerana komplikasi yang seterusnya boleh menyebabkan kematian.

“Tanda-tanda dan gejala penyakit ini seperti mengigil, demam, berpeluh, sawan, sakit otot koma dan bengkak hati dan limpa.

“Contoh darah pesakit malaria akan diambil untuk diagnosa. Keputusannya boleh diketahui sekitar enam hingga 12 jam,” katanya.

Teoh memberitahu, walaupun penyakit malaria boleh membawa maut namun boleh dirawat dengan ubat anti-malaria bergantung kepada spesies parasit penyakit malaria dan keseriusan jangkitan.

“Malaria boleh dirawat dan pesakit berpotensi untuk pulih. Ubat antimalaria boleh diperoleh dengan mudah di hospital dan klinik.

PENYAKIT malaria berpunca daripada parasit bawaan nyamuk Anopheles. – Gambar hiasan

“Ubat yang biasa digunakan ialah artemether/lumefantrine, chloroquine, quinine dan primaquine. Regim ubat bergantung kepada usia dan tempat mendapat jangkitan (parasit malaria dari kawasan tertentu kebal kepada ubat malaria yang biasa) dan alahan kepada ubat.

“Pesakit yang mendapat jangkitan terutamanya malaria Falciparum biasanya perlu rawatan kecemasan dan masuk hospital.

“Sebenarnya tiada vaksin khas mencegah malaria. Langkah pencegahan lebih bertumpu kepada cara memusnahkan nyamuk dengan mencampurkan racun serangga di tempat pembiakannya seperti paya dan air bertakung, dan juga pengambilan ubat rawatan malaria sebagai langkah pencegahan sebelum seseorang melawat kawasan yang tinggi beban kes malaria,” katanya.

Info

Jenis-jenis malaria

– Plasmodium Falciparum
– Plasmodium Vivax
– Plasmodium Ovale
– Plasmodium Malariae
– Plasmodium Knowlesi – MalaysiaGazette