KUALA LUMPUR – Walaupun Tun Dr. Mahathir Mohamad mempunyai perselisihan dalam banyak perkara dengan Pas namun kedua-dua pihak mempunyai banyak titik persefahaman.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, titik persefahaman dengan bekas perdana menteri itu wajib diambilkira untuk menyatupadukan orang Islam dan Melayu.
“Diadakan pertemuan dan perbincangan bersama mantan Perdana Menteri Malaysia Tun Dr. Mahathir Mohamad, seorang negarawan yang telah berpolitik dalam tempoh masa yang sangat panjang dan banyak pengalamannya sejak zaman penjajah sehingga negara mencapai kemerdekaan.
“Malah beliau juga pernah dua kali menjadi perdana menteri.
“Walaupun beliau banyak berkhilaf dengan Pas namun banyak titik persamaan yang wajib diambil kira dan bersatu menunaikan kewajipan agama, bangsa dan negara bersama Islam,” katanya dalam kenyataan.
Abdul Hadi antara pemimpin Pas yang dilaporkan menandatangani Proklamasi Orang Melayu yang diterajui Mahathir ketika bertemu dengan Pengerusi Gerakan Tanah Air itu di rumahnya Selasa lalu.
Menurut beliau, perbincangan antara lain menyentuh wajibnya perpaduan kaum Melayu Islam yang menjadi majoriti penduduk asal Malaysia dan majoriti masyarakat majmuk.
Abdul Hadi berkata, perpaduan bangsa Melayu yang menjadi tonggak Islam dalam negara ini wajib dilaksanakan bagi mengukuhkan kekuatan Islam.
Beliau menegaskan, menjadi dosa bagi orang Melayu Islam berpecah belah dengan niat yang salah kerana telah melemahkan kuasa politik kaum Melayu Islam yang wajib memimpin negara.
“Pas menyeru para pemimpin Melayu Islam untuk menyatukan kaumnya bukan kerana rasis, tetapi meletakkan kuasa politik ke landasan yang betul dalam keadaan kaum Melayu tidak fanatik perkauman.
“Kalau dibiarkan, Melayu akan bertindak salah juga dengan semangat fanatik perkauman yang berlaku secara automatik tanpa dikawal,” kata Abdul Hadi.
Selain Abdul Hadi turut menandatangani Proklamasi Orang Melayu adalah Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar; Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hasan dan Penolong Setiausaha Agung Pas Pusat, Mohd Syahir Che Sulaiman.
Gambar pertemuan pemimpinan Pas dan Dr. Mahathir tersebar di media sosial.
Selain pemimpin Pas turut kelihatan dalam gambar tanpa keterangan Pengerusi Sekretariat Proklamasi Orang Melayu, Datuk Marzuki Yahya dan Pengerusi Biro Mobilisasi Sekretariat Proklamasi Orang Melayu, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.
Proklamasi Orang Melayu adalah agenda penyatuan orang Melayu merentasi parti, kini berjaya mendapat sokongan pemimpin Pas, Bersatu dan UMNO dengan sasaran satu juta tandatangan dikumpulkan menjelang Pilihan Raya Negeri yang dijangka Julai ini.- MalaysiaGazette
Ohhh mmg sama…dua2 kaki penipu…menipu orang Melayu..dan pemecahbelah org Melayu