Thiban Subbramaniam

KUALA LUMPUR – Angka 126 yang dicanangkan beberapa pemimpin Perikatan Nasional (PN) hanya propaganda murahan mereka yang mabuk kuasa.

Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Thiban Subbramaniam mendakwa, PN ketika ini cuba menakut-nakutkan rakyat dengan dakwaan kononnya kerajaan sekarang tidak akan bertahan lama.

Tegas beliau, PN ketika ini hanya memikirkan bagaimana untuk mereka ‘menebuk atap’ kali kedua dengan mengambil alih pentadbiran kerajaan secara kotor dan tidak berprinsip.

“Tindakan berterusan PN ini menunjukkan lagi sikap dan sifat retorik mereka bagi menghakis kepercayaan rakyat terhadap kerajaan perpaduan yang dibentuk secara sah dengan izin dan perkenan Yang di-Pertuan Agong.

“Cukup-cukuplah PN untuk menjadi kerajaan ‘tebuk atap’, berusahalah menjadi pembangkang yang baik supaya kestabilan dan kemakmuran negara dapat dikecapi secara bersama.

“Gelombang kebangkitan rakyat menyokong kerajaan perpaduan sebagai kerajaan terbaik semakin terasa menerusi sokongan yang dizahirkan pada setiap program kerajaan di seluruh negara,” katanya.

Semalam, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Muhammad Faiz Na’aman memuat naik catatan di Facebooknya dengan menulis ‘126 dah…jika benar Alhamdulillah’.

Hantaran itu menimbulkan persoalan termasuk ada pihak mengaitkan angka itu sebagai jumlah ahli Parlimen yang memberi sokongan kepada parti pembangkang.

Terdahulu Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan menafikan dakwaan terdapat ahli Parlimen dalam kalangan parti komponennya terlibat dalam usaha menjatuhkan kerajaan.

Menurut Thiban, rakyat kini sedang bergelut untuk keluar dari pelbagai masalah yang membelenggu kehidupan seharian tetapi PN pula terus-menerus mahu menumbangkan kerajaan sedia ada.

Beliau yang juga Ketua Cabang PKR Kuala Selangor berharap, rakyat semakin matang dalam berpolitik dengan menunjukkan isyarat penolakan kepada PN yang mahu merebut kuasa dalam Pilihan Raya Negeri nanti. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Apa yang fobia sangat dengan angka 126 tu? Kalau benar pun tidak mengapa, rakyat mengalu2kan, biarlah proses demokrasi yang menjadi kebanggan rakyat Malaysia berjalan lancar… hu..hu..

Comments are closed.