Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) pertama di Pantai Timur berjaya lakukan ECIRS

KUANTAN – Jabatan Urologi Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) menjadi hospital pertama di Pantai Timur yang berjaya menjalankan pembedahan Endoscopic Combined IntraRenal Surgery (ECIRS) pada 3 Mei lalu.

Menurut Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Dr. Nor Azimi Yunus, empat orang pesakit yang mengalami batu karang pada buah pinggang dan ureter berjaya menjalani pembedahan tersebut.

“Dua orang pesakit perempuan dan dua orang pesakit lelaki berumur antara 35 ke 71 tahun yang mengalami batu karang di buah pinggang dan ureter telah berjaya menjalani pembedahan ECIRS bagi membuang batu karang kompleks tersebut.

“Melalui kaedah ini, dua orang pakar urologi boleh melakukan dua prosedur berbeza pada waktu yang sama ke atas pesakit iaitu Percutaneous Nephrolithoto (PCNL) dan ureteroscopy (URS) menjadikan masa pembedahan lebih pendek,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah Nor Azimi, pembedahan yang dijalankan Pakar Perunding Urologi HTAA, Dr Hamid Ghazali dan Pakar Urologi HTAA, Dr Syahril Anuar turut dibantu Pakar Perunding Urologi dari Hospital Selayang, Dr Toh Charng Chee.

Pembedahan seperti itu, katanya, berjaya menyediakan Pakar Urologi dan kakitangannya dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk melaksanakan prosedur ECIRS dengan selamat dan berkesan pada masa akan datang.

Katanya, ia sekali gus menjadikan lebih ramai pesakit boleh menerima manfaat rawatan tersebut selari dengan kemajuan teknologi semasa. – MalaysiaGazette