konvensyen nasional kerajaan perpaduan
Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bercakap pada sidang media mengenai Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan Malaysia di Menara Dato Onn WTC Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM05 MEI 2023.

KUALA LUMPUR – Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) 14 Mei ini akan menjadi titik tolak usaha mewujudkan kesefahaman dan kolaborasi yang lebih utuh di peringkat kepimpinan parti-parti politik yang terlibat.

Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, konvensyen tersebut mempunyai matlamat yang jelas iaitu memastikan kestabilan politik terus dipertahankan serta yang paling penting, memacu agenda yang memberi manfaat kepada rakyat dari segi ekonomi, sosial dan pendidikan.

“Kita tidak mahu lagi peristiwa lampau berulang, cukuplah empat tahun setengah kita berdepan dengan ketidakstabilan politik yang menyaksikan kerajaan berubah sebanyak tiga kali yang memberi kesan yang cukup pedih kepada rakyat dari segi pelaburan, ekonomi.

“Ini merupakan pentas terbaik bagi kepimpinan parti-parti politik mengukuhkan dan menyatakan tekad dan keazaman secara bersama untuk memastikan komitmen dan agenda yang dilakukan di peringkat kerajaan akan didukung sepenuhnya oleh parti-parti politik di semua peringkat,” katanya dalam sidang media di bilik mesyuarat sekretariat berkenaan di Menara Datuk Onn di sini, hari ini.

Konvensyen yang dijangka dihadiri lebih 10,000 peserta itu bertemakan ‘Madani Mewajahi Masa Depan Malaysia’.

Beliau yang juga Setiausaha Agung UMNO menambah, konvensyen bermula dengan dua sesi yang berjalan secara selari mulai pukul 10 pagi hingga 12 tengah hari.

Menurut beliau, dua sesi tersebut adalah Konvensyen Nasional Wanita Kerajaan Perpaduan di Dewan Merdeka serta Konvensyen Nasional Pemuda dan Puteri Kerajaan Perpaduan di Dewan Tun Hussein Onn.

“Konvensyen utama bermula pada pukul 2 petang dengan sidang Bicara Rakyat yang terbahagi kepada tiga sub sesi yang akan dibentangkan oleh wakil-wakil atau pemimpin dari parti-parti yang menubuhkan Kerajaan Perpaduan.

“Mereka akan membicarakan tentang komitmen Kerajaan Perpaduan dalam isu-isu berkaitan rakyat terutamanya ekonomi, soal masa depan pembinaan negara bangsa dan konsep Madani dalam pelaksanaan agenda rakyat,” jelasnya.

Asyraf Wajdi memberitahu, sesi kedua selepas itu pula akan menghimpunkan pengerusi-pengerusi Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Beliau berkata, acara kemuncak konvensyen adalah amanat yang disampaikan oleh Pengerusi Sekretariat Kerajaan Perpaduan merangkap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Ini merupakan konvensyen kali pertama berskala besar yang menghimpunkan 19 parti politik yang membentuk Kerajaan Perpaduan selepas enam bulan kita menubuhkan kerajaan.

“Sebelum ini banyak program bersama di peringkat kerajaan tetapi kita belum ada di peringkat parti,” katanya.