Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Walaupun keputusan Bank Negara untuk menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 3.00 peratus mempunyai baik buruknya, tetapi yang pasti pembeli rumah yang menyumbang sebahagian besar gaji untuk membeli kediaman akan terjejas.

Namun persoalannya, sejauh mana impaknya ke atas pinjaman perumahan?

Presiden Persatuan Akauntan Bertauliah Malaysia, Tan Yen Wooi ketika dihubungi Oriental Daily memberi penjelasan berdasarkan contoh jumlah pinjaman.

Dengan andaian tempoh bayaran balik adalah 30 tahun untuk pinjaman bernilai RM300,000 dengan kadar bunga 4.5 peratus.

Kenaikan 0.25 peratus kepada 4.75 peratus bermakna kadar bayaran bulanan juga naik 0.25 peratus. Ini bermaksud tambahan RM45 sebulan atau RM540 setahun.

Jumlah bunga yang perlu dibayar dalam tempoh 30 tahun itu juga meningkat  RM16,200.

Dengan andaian pinjaman RM500,000 pula dengan bayaran balik asal secara bulanan RM2,533, jumlah bayaran bulanan akan meningkat kepada RM2,608, iaitu pertambahan sebanyak RM75 setiap bulan atau RM900 setahun.

Dalam tempoh pinjaman 30 tahun, jumlah bunga pula meningkat RM27,000.

Bagi pinjaman bernilai RM700,000, bayaran bulanan asal adalah RM2,533, tetapi akan bertambah RM105 sebulan atau RM1,260 setahun. Jumlah faedah pula meningkat RM37,800.

Dalam pada itu, penganalisis berpendapat bahawa pembeli rumah akan mempertimbangkan semula hasrat untuk membeli rumah.

Selain itu,  permohonan  lebih ramai orang mungkin ditolak dan menjejaskan jual beli hartanah secara jangka pendek.

Impak jangka panjang pula bergantung kepada keadaan ekonomi, permintaan dan penentuan harga oleh pemaju.

Pembeli rumah yang konservatif mungkin memilih pinjaman berdasarkan kadar bunga tetap, tetapi mereka mungkin tidak merasakan manfaatnya jika Bank Negara menurunkan kadar faedah pada masa depan. – MalaysiaGazette