Anggota polis membawa seorang wanita ke mahkamah untuk dituduh atas tuduhan memindahkan data sulit syarikat di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 05 MEI 2023.

KUALA LUMPUR – Seorang pengurus syarikat dijatuhi hukuman denda sebanyak RM21,000 oleh Mahkamah Sesyen Jenayah Siber, di sini, hari ini atas tiga pertuduhan mengalihkan data sulit milik sebuah syarikat yang membekalkan penstriman kandungan televisyen tanpa kebenaran antara 2016 hingga 2020.

Hakim Azura Alwi telah menjatuhkan hukuman itu ke atas tertuduh Teo Kia Lim, 45, selepas wanita tersebut mengaku bersalah terhadap kesemua tiga pertuduhan selepas kertas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa.

Bagi pertuduhan pertama hingga ketiga, wanita itu didakwa telah melakukan capaian tanpa kuasa terhadap data sulit milik sebuah syarikat dengan menyalin atau mengalihkan data tersebut kepada e-mel persendirian tertuduh untuk mendapatkan data tanpa kebenaran daripada pemilik syarikat terbabit.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Liku, Bangsar, di sini, antara pukul 10.21 pagi hingga 4.41 petang 29 Disember 2016 hingga 26 Ogos 2020.

Wanita itu yang merupakan seorang ibu tunggal didakwa di bawah Seksyen 3 (1)(b) Akta Jenayah Komputer 1997 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 3 (3) akta sama.

Jika disabitkan kesalahan tertuduh boleh dijatuhkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya.

Wanita itu yang menjawab memahami pertuduhan yang dihadapinya kemudian mengaku bersalah ke atas kesemua pertuduhan tersebut.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurilya Ellyna Nor Azmal memohon kepada mahkamah agar hukuman setimpal dijatuhkan supaya memberikan pengajaran kepada tertuduh bagi memastikan dia tidak mengulangi kesalahan sama pada masa akan datang.

“Kesalahan tertuduh dalam kes ini melibatkan data sulit milik sebuah syarikat dan tertuduh semasa melakukan kesalahan itu masih bekerja dengan syarikat itu,” katanya.

Dalam pada itu, peguam bela Segaren yang mewakili Kia Lim merayu kepada mahkamah supaya hukuman denda minimum dan munasabah dikenakan dengan alasan anak guamnya merupakan ibu tunggal selain telah memberikan kerjasama baik sepanjang siasatan dijalankan sebelum ini.

Azura kemudian menjatuhkan hukuman denda RM7,000 bagi setiap pertuduhan terhadap tertuduh. – MalaysiaGazette