David Marshel.

SEBERANG PERAI – Ahli Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), David Marshel menegaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih belum merakamkan kenyataannya berhubung dakwaan memfitnah Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Lee Chong Chern.

Bagaimanapun, David berkata, dia bersedia pada bila-bila masa untuk dirakam keterangan berhubung hantaran yang dimuat naik di Facebook miliknya membabitkan dakwaan Chong Chern cuba menggagalkan Kerajaan Perpaduan dengan menyemai kebencian terhadap kerajaan oleh penganut Hindu di daerah tersebut.

“Saya masih tunggu pegawai penyiasat memanggil untuk proses merakamkan keterangan tetapi sehingga kini saya belum ada panggilan daripada mana-mana pegawai penyiasat.

“Namun, sekiranya keterangan saya akan dirakam oleh pegawai dari IPD SPS, saya akan minta peguam untuk hubungi polis kerana tidak sesuai bos (Ketua Polis SPS) buat laporan anak buah nak siasat.

“Saya melalui peguam akan mohon pegawai penyiasat yang tiada kaitan dengan IPD SPS supaya siasatan dilakukan secara adil,” katanya ketika ditemui pemberita di Dewan Serbaguna Taman Chai Leng di sini, hari ini.

Semalam media melaporkan satu laporan polis dibuat terhadap pemilik akaun Facebook (FB), David Marshel susulan mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadap Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Lee Chong Chern.

Chong Chern berkata, beliau membuat laporan polis itu pada jam 10.04 malam semalam selepas menyedari kenyataan yang dimuatnaik David yang juga Ahli Majlis Bandaraya Seberang Perai MBSP membabitkan kelulusan permit perarakan pedati bagi upacara keagamaan penganut Hindu di daerah itu.

“Satu kebenaran untuk menyiasat (OTI) akan dipohon daripada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk meneruskan siasatan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Semakan maklumat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) juga akan dilakukan selepas memperolehi OTI,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast