Tun Ariffin Zakaria.

KUALA LUMPUR – Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tun Ariffin Zakaria bakal mengosongkan kerusinya berkuat kuasa esok selepas menamatkan penggal perkhidmatan selama dua tahun.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, Arifin yang dilantik ke jawatan itu pada 2021 akan bersara dan sepanjang perkhidmatannya beliau telah memainkan peranan penting dalam mengukuhkan tadbir urus syarikat.

Katanya, di bawah kepimpinan Ariffin, syarikat itu telah membangunkan rangka kerja dalaman bagi menilai pengarah dan ketua eksekutif serta mentauliahkan kakitangan kritikal syarikat pelaburannya bagi memastikan kekuatan Lembaga Pengarah masing-masing.

Di samping itu katanya, Arifin turut menerajui dan membimbing PNB dalam inisiatif Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

Tambahnya, pada April tahun lepas, PNB melancarkan Rangka Kerja Kelestarian PNB, yang bertujuan untuk menyampaikan manfaat bukan sahaja kepada pihak berkepentingannya tetapi juga untuk pasaran yang lebih luas dan negara.

“Kami ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tun Arifin bagi pihak Lembaga Pengarah dan Warga PNB.

“Perkhidmatan dan kepimpinan cemerlang beliau sejak dua tahun lalu telah memberikan sumbangan besar kepada pertumbuhan PNB, ASNB, dan Kumpulan Syarikat PNB.

“Pengalaman luas beliau dalam perkhidmatan awam amat berharga dan kami berterima kasih atas legasi yang beliau tinggalkan,” katanya menerusi kenyataan ,hari ini.

Pelantikan Pengerusi Kumpulan PNB akan dibuat dalam masa terdekat. – MalaysiaGazette