Bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar diiringi ADUN Gombak Setia, Hilman Idham (kiri) bersalaman dengan Pengerusi Perikatan Nasional Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada Majlis Silaturrahmi Aidilfitri DUN Gombak Setia di Padang Awam Taman Selaseh Fasa 2, Gombak, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 06 MEI 2023.

GOMBAK – Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali percaya gabungan itu mampu untuk memenangi 33 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu.

Beliau berkata, sasaran oleh Setiausaha Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir itu mampu dicapai berdasarkan kepada statistik yang diterima Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) lalu.

“Andaian itu boleh dicapai kerana dalam PRU15 kalau kita teliti skor yang telah diwartakan SPR kita telah menang 14 kerusi dan ada sembilan kerusi yang kita kalah kurang daripada 5,000 undi.

“Kita hanya perlukan dalam 1,000 hingga 2,000 undi sokongan dan dengan situasi semasa saya yakin kerusi ini boleh ditawan PN.

“Ini menjadikan jumlah dalam tangan 23 kerusi, maknanya untuk mencapai 30 atau lebih satu perkara yang boleh diusahakan dan itu antara hasrat kita,” katanya kepada media selepas menghadiri Rumah Terbuka Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham di sini hari ini.

Mohamed Azmin diminta mengulas mengenai kenyataan Setiausaha Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir yang berkata PN mampu untuk meraih 33 kerusi DUN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor tidak lama lagi.

Dalam pada itu, ADUN Bukit Antarabangsa itu berkata, pembahagian kerusi di Selangor sudah diselesaikan dan kini sudah diserahkan kepimpinan PN pusat.

Ia berdasarkan kepada beberapa perbincangan yang dibuat Bersatu bersama-sama Pas dan Gerakan.

“Kesemua kerusi telah dibentangkan dan akan diputuskan oleh pimpinan psuat kerana pendirian kita adalah negeri hanya mengemukakan pandangan dan kita bentang kepada pusat untuk membuat keputusan muktamad.

“Di peringkat negeri kita sudah selesai mencapai muafakat dalam pembahagian kerusi,” katanya lagi.

Ditanya mengenai kehadiran bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar di majlis sama, Mohamed Azmin berkata, gabungan itu sentiasa membuka pintu untuk mana-mana tokoh politik termasuk bekas pemimpin untuk menyertai gabungan itu.

“Tanya dia (Noh), dia ada sini. Bersatu dan PN sentiasa membuka pintu kepada mana-mana individu yang komited untuk menerima idealisma dan perjuangan Bersatu dan PN.

“Dalam suasana politik semasa kia perlukan dokongan daripada semua pihak dan saya percaya Noh mempunyai pengalaman yang begitu panjang dalam perjuangan, betul selama ini dia berada dalam UMNO.

“Beliau antara tokoh yang berani menegur kepincangan dan kecurangan yang berlaku dalam UMNO dan apa langkah seterusnya kita serahkan kepada Noh dan bersedia untuk bersedia menerima mana-mana individu yang ingin bersama PN,” jawabnya.

Usaha bagi mendapatkan komen daripada Noh mengenai status politiknya gagal apabila beliau enggan untuk memberikan sebarang komen. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. InsyaAllah gelombang hijau adalah pilihan rakyat dan pimpinan masa depan negara. Kepada para pemimpinnya teruskan mendekati rakyat jelata dan terus bijak meyelesaikan pemasalahan kos sara hidup tinggi yang membebani rakyat.

Comments are closed.