KUALA LUMPUR – “Dia hanya nak tumpang populariti saya. Dia sudah tenggelam, kalau (kalah majoriti undi) 31,000 apa jalan lagi nak naikkan nama dia balik.”
Itu kata Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor terhadap Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar yang menggunakan media sosial berkaitan isu pembayaran saman fitnah.
Sanusi berkata, tidak timbul isu bayaran saman kerana beliau sudah menyerahkan wang kepada peguamnya pada minggu lalu untuk membayar saman fitnah kepada Mahfuz.
Menurut Sanusi, Mahfuz yang juga Pengerusi Pakatan Harapan menggunakan media sosial untuk menaikkan semua namanya yang sudah tenggelam.
“Saya dengar dia nak bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Derga atau Pengkalan Kundur.
“Jadi siapa yang tengah top sekarang, dia nak tumpang orang itulah. Itu strategi politik Mahfuz sejak dulu sampai sekarang,” katanya selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Pusat di Kompleks PAS Kedah di Kota Sarang Semut di sini, semalam.
Sanusi berkata, peguamnya kini sedang menguruskan hal pembayaran saman dengan peguam Mahfuz.
Menteri Besar Kedah itu tidak akan masuk campur urusan peguam seperti dilakukan Mahfuz.
Beliau menyifatkan pengaruh politik Mahfuz juga sudah tumpul sehingga memaksa beliau ‘mencakar’ orang berpengaruh.
“Dulu dia ‘cakar’ Tun Dr Mahathir Mohamad. Siapa yang popular dia akan pergi cakuk. Jadi saya serah kepada pengundi untuk menilai tokoh politik itu,” katanya seperti yang dilaporkan Berita Harian.
Sebelum ini media melaporkan, Mahfuz menggesa Sanusi supaya segera menyelesaikan saman fitnah sebanyak RM120,000 berserta kos tambahan atau notis kebankrapan bakal difailkan ke atasnya.
Mahfuz berkata, jika Sanusi terus melengahkan bayaran saman itu, beliau akan berbincang dengan peguam dalam tempoh terdekat untuk tindakan seterusnya termasuk menyita aset Menteri Besar Kedah itu.
Pada 3 April lalu, Muhammad Sanusi gagal dalam rayuan saman fitnah kes itu, selain Mahfuz memohon untuk menaikkan saman terbabit daripada RM50,000 kepada RM120,000.-MalaysiaGazette