Anwar bersalam dengan pengunjung yang hadir Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani di UiTM Pulau Pinang hari ini.

PERMATANG PAUH – Kira-kira 15,000 pengunjung membanjiri Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani yang diadakan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pulau Pinang di sini hari ini.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati orang ramai mula memenuhi ruang khemah seawal 9 pagi meskipun majlis dijadualkan bermula 11 pagi.

Lebih 50 gerai makanan disediakan dan antara menu disajikan kepada orang ramai ialah  nasi hujan panas, kambing golek, pasembur, laksa, martabak, roti John, sate, cendol, lemang, rendang, mi sotong, ais tingkap serta char kuetiau.

Orang ramai beratur mengambil makanan di gerai yang disediakan.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail tiba pukul 12 tengah hari dan ketibaan mereka disambut dengan laungan reformasi.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kom Yeow; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifudin Nasution; Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fong; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek serta pemimpin negeri.

Orang ramai tidak melepaskan peluang berswafoto dengan Saifudin Nasution.

Sementara itu, seorang pengunjung, Zulkifli Kamarudin, 59, berkata, dia datang seawal 9 pagi untuk merasakan kemeriahan rumah terbuka bersama perdana menteri.

“Saya datang dari Nibong Tebal semata-mata untuk melihat perdana menteri bersama pimpinan Kerajaan Peraduan meraikan jamuan Aidilfitri bersama rakyat seperti kami.

Zulkifli Kamaruddin

“Walaupun bukan duduk semeja tapi kehadiran beliau (Anwar) melawat khemah makanan yang disediakan untuk orang ramai cukup bermakna buat rakyat biasa seperti kami,” katanya ketika ditemui hari ini.

Menurut Lim Ken Seang, 29, pula, kehadirannya bukan untuk meraikan rumah terbuka malah untuk mendalami konsep Malaysia Madani yang dibawa perdana menteri.

“Ini merupakan kali kedua saya berjumpa dengan beliau (Anwar) dan kali ini saya datang untuk memahami konsep Madani yang diuar-uarkan beliau kerana ramai yang masih tidak faham konsep itu.

Ken Seang.

“Selain itu, saya juga teruja kerana pelbagai juadah disediakan buat orang ramai,” katanya.

Nuraisyah.

Turut meluahkan rasa teruja, Nuraisyah Ali, 19, yang datang dari Changlun, Kedah. – MalaysiaGazette