LRA Tok Bali
Tuan Ibrahim Tuan Man

 KUALA LUMPUR – Pas menafikan tindakan parti itu menandatangani Proklamasi Orang Melayu Khamis lalu sebagai kempen untuk mendapatkan sokongan pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Timbalan presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, proklamasi yang dicetuskan mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad itu telah dirancang awal sebelum ini.

Bagaimanapun, kata beliau, program itu berdepan dengan pembatalan sebanyak empat kali sehingga ia berjaya ditandatangani bersama Dr. Mahathir pada Rabu lalu.

“Pimpinan Pas menandatangani menyokong proklamasi ini tidak ada kena mengena dengan PRN di enam negeri yang akan berlangsung tidak lama lagi.

“Proklamasi ini telah dirancang awal lagi daripada hal berkaitan dengan PRN namun ia dibatalkan sebanyak empat kali.

“Proklamasi ini ialah anjuran yang dibuat melalui pertubuhan atau individu yang menandatangani menyokong penyataan proklamasi tersebut. Ia tidak melibatkan parti politik, ia di luar daripada kerangka politik,” katanya hari ini.

Beliau mengulas tindakan beberapa pemimpin Pas termasuk presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengadakan pertemuan dengan Dr. Mahathir dan menyatakan sokongan serta menandatangani  Proklamasi Orang Melayu.

Perkara itu didedahkan Abu Bakar Yahya iaitu pembantu kepada Dr. Mahathir melalui hantaran ringkas di Facebooknya pada Rabu.

Beberapa pimpinan tertinggi Pas yang diketuai Abdul Hadi telah pun menandatangani menyokong Proklamasi Bangsa Melayu di hadapan Dr. Mahathir yang turut dihadiri Naib Presiden Pas, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan setiausaha agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Tuan Ibrahim turut menegaskan, pertemuan dengan bekas Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu ada kena mengena dengan komplot menjatuhkan kerajaan perpaduan.

Katanya, selagi dalam kerangka yang dibenarkan oleh sistem pilihan raya, sistem demokrasi tidak bercanggah dengan undang-undang dan perkara itu adalah terbuka. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Lebai2 sejak menganggur ni dh merapu2 pulak. Kebetulan pulak ye nak menjelang tiba musim pilihanraya baru sibuk2 nak perjuang nusa bangsa. Budak tadika boleh la nk sembang.

Comments are closed.