Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani beramah mesra bersama tetamu yang hadir pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Wilayah Persekutuan di Kampung Baharu, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 07 MEI 2023.

KUALA LUMPUR – Pasukan Petugas Khas 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk melakukan penangkapan individu-individu yang terbabit dengan skandal syarikat pelaburan strategik itu.

Pengerusinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pasukan yang diterajuinya itu hanya menumpukan usaha untuk mendapatkan kembali aset milik 1MDB sahaja.

Beliau memberitahu, kerajaan sedang merancang pelbagai usaha termasuk mengadakan perbincangan dengan bank pelaburan global, Goldman Sachs untuk mendapatkan kembali aset 1MDB.

“Ini kena bezakan, saya lebih menumpukan kepada mendapatkan kembali aset (1MDB).

“Mana-mana melibatkan kes-kes jenayah dan juga melibatkan penangkapan akan dibuat oleh pihak berkuasa.

“Insya-Allah, saya fikir lebih banyak yang kita tengah buat khususnya dengan Goldman Sachs,” katanya kepada media pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Wilayah Persekutuan di Kampung Baru, di sini, hari ini.

Jumaat lalu, media melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya membawa pulang seorang individu, dipercayai sekutu ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low yang terbabit dalam kes penyelewengan dana 1MDB dan SRC International Sdn Bhd (SRC).

Individu itu difahamkan ditahan sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pukul 3.30 pagi Rabu lalu.

Sebaik tiba di KLIA2, lelaki itu yang menghilangkan diri sejak 2018 diserahkan Notis Perintah untuk hadir di ibu pejabat SPRM Putrajaya.

Difahamkan, hasil siasatan mendapati suspek didapati terlibat dengan skandal itu dan menerima wang hasil seleweng menerusi akaun bank Wright Shaw Limited, selain dipercayai menerima sebahagian wang diseleweng dari dana 1MDB melalui Yayasan Rakyat Malaysia (YR1M).

SPRM dengan kerjasama Commercial Affairs Departments Singapura (CAD Singapura) juga dilaporkan berjaya menyita akaun bank milik Wright Shaw Limited berjumlah kira-kira AS$ 5.2 juta.

Pada 26 April lalu, suruhanjaya berkenaan berjaya membawa pulang kira-kira RM16 juta dana 1MDB yang diseleweng menerusi Totality Limited milik bekas Pengarah Eksekutif Pembangunan Perniagaan 1MDB, Casey Tang Keng Chee atau Casey Tang.

SPRM sebelum ini telah mengeluarkan waran tangkap atau notis merah bertarikh 29 Jun 2018 terhadap Keng Chee yang masih gagal dikesan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Setakat ini, suruhanjaya berkenaan telah berjaya mendapatkan kembali kira-kira 70 peratus aset 1MDB membabitkan jumlah kira-kira RM28.3 bilion. – MalaysiaGazette