perjuangan UMNO
Dr. Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Cara terbaik yang boleh dilakukan kerajaan bagi menghapuskan rasuah semasa pilihan raya umum (PRU) adalah dengan menghadkan perbelanjaan oleh parti.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, antara lain kerajaan boleh menghadkan pemasangan bendera, sepanduk atau papan iklan bagi satu-satu kawasan yang ditandingi.

Katannya, dengan cara tersebut perbelanjaan oleh satu-satu parti boleh dikurangkan semasa PRU.

“Katakanlah jika parti letak calon dalam satu kawasan, hanya 100 bendera, 20 sepanduk dan 2 papan iklan dibenar, maka kos kempen tidak akan menjadi tinggi.

“Saingan antara parti yang kaya dan yang miskin akan jadi lebih adil,” kata Mahathir.

Menurut Mahathir melalui cara ini keghairahan memasang bendera, sepanduk dan papan iklan dikurangkan dan menjadikan pertandingan lebih adil.

“Yang kurang kewangan pun boleh harap menang. Di masa yang sama rasuah akan dikurangkan kerana kempen tidak perlu dana yang besar,” jelas beliau.

Tambah Mahathir, pencalonan seseorang daripada bertanding pilihan raya juga perlu digugurkan jika individu terbabit terlibat dengan tiga kes sogokan.

Menurut Pengerusi Gabungan Tanah Air (GTA) itu, dengan cara tersebut sogokan terbuka seperti yang berlaku pada PRU-15 dapat dikurangkan.

“Jika terdapat tiga kes sogokan, pencalonan parti berkenaan perlu dibatal.

“Memang sogokan kepada pengundi boleh disembunyi. Tetapi amalan sogokan secara terbuka seperti dilakukan dalam PRU 15 akan dikurangkan. Sedikit sebanyak ia berkesan dalam pengurangan sogokan.

“Jika satu dua kes dikena tindakan, parti-parti akan lebih berjaga-jaga dan tidak akan sogok wang secara yang boleh dikesan,” kata Dr. Mahathir.

Tambah beliau, sogokan ketika pilihan raya juga boleh dikurang dengan orang ramai mengguna kamera untuk merekod dan membuat lapor.

Pihak polis dan badan pencegah rasuah juga perlu menggunakan kamera bagi mengurangkan aktiviti sogokan.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast