Datuk Seri Saifuddin Abdullah

KUANTAN – ‘Tanya Perdana Menteri dari mana dia dengar,” Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

Menurut Saifuddin, hanya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang membangkitkan perkara itu dan ia merupakan topik hangat diperkatakan dalam kalangan rakyat.

“Dari mana kita dapat dengar cerita berkaitan dengan ‘ada angka’ atau ‘ada langkah-langkah’ tertentu ini?.

“Setahu saya kita dengar ini daripada dua sumber, yang pertama ialah daripada Perdana Menteri, dia yang sebut dan yang kedua kalau kita pergi mana-mana pun rakyat sebut soalan ini,” kata Ahli Parlimen Indera Mahkota itu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media mengenai persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan persiapan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Pejabat Sekretariat PN, di sini, hari ini.

Beliau menyatakan demikian ketika ditanya mengenai desas-desus pertukaran Kerajaan Persekutuan yang timbul akhir-akhir ini.

Sebelum ini, ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Muhammad Faiz Na’aman menulis status di Facebooknya dengan menyebut angka 126, yang nyata menimbulkan pertanyaan banyak pihak.

Muhammad Faiz bagaimanapun tidak menjelaskan sekiranya angka 126 itu adalah merujuk kepada jumlah Ahli Parlimen.

Bagaimanapun, Anwar pada Sabtu lalu membuat cabaran terbuka kepada pembangkang yang dikatakan mempunyai nombor supaya membuktikan di Parlimen yang akan bersidang mulai 22 Mei ini.

Kerajaan Perpaduan buat masa ini mempunyai sokongan 82 Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) ditambah dengan komitmen yang dinyatakan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Tun Openg. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.