Malaysia-Indonesia jalin kerjasama pembayaran kod QR rentas sempadan.

KUALA LUMPUR- Bank Negara Malaysia (BNM) dan Bank Indonesia (BI) mengumumkan pelancaran komersial jalinan pembayaran kod respons pantas (QR) rentas sempadan antara Indonesia dengan Malaysia.

Pelancaran itu akan membolehkan lebih banyak rakyat Indonesia dan Malaysia membuat pembayaran runcit secara segera di kedua-dua negara dengan mengimbas kod QR Kod Standard Pembayaran Nasional (QRIS) atau DuitNow QR.

Kedua-dua pihak dalam kenyataan bersama hari ini berkata pelancaran komersial jalinan itu adalah susulan kejayaan fasa rintis jalinan yang diumumkan pada 27 Jan 2022.

Gabenor BNM Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata langkah ini mewujudkan potensi besar untuk merangsang kegiatan ekonomi di antara kedua-dua negara, termasuk perbelanjaan pelancongan.

“Jalinan ini juga akan membantu memperluas pasaran sesetengah perniagaan dan memudahkan penyelesaian dalam mata wang tempatan yang lebih banyak, lantas meningkatkan hasil kewangan.

“Jalinan antara negara Asean kini semakin kukuh. Lebih banyak pengguna dari Malaysia dan Indonesia akan mendapat manfaat daripada pengalaman yang selamat, lebih lancar dan lebih cekap untuk membuat dan menerima pembayaran rentas sempadan,” katanya.

Menurut Nor Shamsiah jalinan pembayaran QR antara Malaysia dengan Indonesia menjadi pelengkap kepada jalinan pembayaran dua hala antara negara Asean yang akan menyumbang ke arah Asean yang lebih teguh dan membangunkan lagi rantau ini sebagai pusat pertumbuhan.

Gabenor BI, Perry Warjiyo pula berkata jalinan pembayaran QR rentas sempadan antara Indonesia dan Malaysia merupakan suatu bukti nyata kerjasama Kesalinghubungan Pembayaran Serantau yang kukuh untuk menggalakkan pembayaran rentas sempadan yang lebih pantas, murah, telus dan inklusif, khususnya memberikan manfaat kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana.

“Jalinan ini selaras dengan inisiatif Pelan Hala Tuju G20 untuk Menambah Baik Pembayaran Rentas Sempadan dan merupakan pencapaian penting bagi Indonesia selaku pengerusi Asean pada 2023 serta mewakili satu lagi peristiwa penting bagi Rangka Tindakan Sistem Pembayaran Indonesia 2025,” katanya.

Warjiyo berkata jalinan pembayaran ini menyediakan lebih banyak pilihan kepada pengguna untuk membuat transaksi pembayaran rentas sempadan dan bertindak sebagai faktor penting untuk meningkatkan kecekapan serta menggalakkan ekonomi digital dan rangkuman kewangan di rantau ini.

“Jalinan ini juga akan mengekalkan kestabilan makroekonomi dengan menggalakkan penggunaan mata wang tempatan yang lebih meluas untuk transaksi dua hala di bawah Rangka Kerja Transaksi Mata Wang Tempatan,” katanya.

Jalinan pembayaran QR ini akan mengeratkan lagi hubungan ekonomi antara Indonesia dengan Malaysia serta menyokong pemulihan ekonomi selepas pandemik yang lebih inklusif dan kukuh.

Kejayaan pelancaran jalinan pembayaran ini adalah hasil kerjasama erat industri yang diterajui oleh BI dan BNM, yang bekerjasama rapat dengan Asosiasi Sistem Pembayaran Indonesia (termasuk ahli-ahlinya yang terdiri daripada pengendali sistem pembayaran di Indonesia), PayNet4 dan institusi kewangan peserta.

Menurut kenyataan itu, kedua-dua pihak mengalu-alukan penyertaan daripada lebih banyak institusi kewangan untuk memperkembang ekosistem pembayaran rentas sempadan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast