SUNGAI BULOH – Kumpulan Wang Simpapan Pekerja (KWSP) digesa untuk menaikkan kadar pelaburan dalam negara kepada 70 peratus.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebagai kumpulan simpanan wang pekerja, KWSP perlu mencapai sasaran itu seiring dengan tujuan penubuhannya untuk membantu para pencarumnya.
“Saya lihat KWSP pelaburan tinggi 64 peratus dalam negara, saya cuma mahu agar pelaburan dalam negara mencecah 70 peratus.
“Untuk keperluan negara sekarang dan ambil kira keperluan sebagian rakyat. Pelaburan betul strategik tapi infrastruktur strategik macam SMART Tunnel oleh KWSP, saya akui berkesan,” katanya ketika merasmikan Menara KWSP Kwasa Damansara hari ini.
Turut hadir adalah Pengerusi KWSP, Tan Sri Ahmad Badli Mohd Zahir dan Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Dalam pada itu, Anwar berkata kerajaan tidak gentar isu pengeluaran KWSP dijadikan senjata pihak pembangkang untuk menyerang kerajaan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri kelak.
Anwar mengulangi pendirian bahawa kerajaan tidak akan membenarkan pengeluaran khas itu berkata Putrajaya tidak akan gentar dengan taktik pembangkang terus menghasut rakyat untuk mendesak pengeluaran KWSP bersasar.
“Masa Covid-19 lain, sebab keadaan mendesak ketika itu. Tapi sekarang rakyat dah bebas untuk keluar bekerja.
“Sebab itu saya setuju dengan usul pengurusan KWSP tidak lagi membenarkan pengeluaran kecemasan
“Saya percaya ini akan terus dimainkan pihak di sebelah sana termasuk menjelang PRN akan datang tetapi ia tidak menggusarkan kita,” katanya ketika berucap merasmikan Menara KWSP disini, hari ini.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu turut berkata beliau tidak akan membuat keputusan hanya untuk memenuhi selera sekumpulan kecil pencarum, memandangkan badan berkanun itu berperanan memelihara dana saraan hari tua.
Bulan lalu, Ahli Parlimen pembangkang yang diketuai Perikatan Nasional (PN) bertindak keluar Dewan Rakyat pada sidang lalu selepas tidak berpuas hati apabila permintaan untuk membahaskan isu pengeluaran KWSP bersasar ditolak pada permulaan persidangan.
Ia selepas seorang pemandu teksi, Noorazlan Ismail, 48, berjalan lebih 300 kilometer dari Skudai, Johor, ke Istana Negara untuk mendesak pengeluaran simpanan KWSP bersasar. – MalaysiaGazette