Lynas Malaysia Sdn. Bhd.

KUANTAN – Kerajaan Pahang terus memberi fokus menarik pelaburan asing dari pelbagai sektor dan industri tanpa menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan penduduk setempat.

Justeru, menurut Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Mohd Nizar Najib, tindakan Kerajaan Persekutuan mengarahkan penyingkiran sisa radioaktif Lynas dari Malaysia sebelum ini tidak akan menjejaskan pelaburan antarabangsa baharu ke negeri ini.

Datuk Mohd. Nizar Najib

“Saya faham kerisauan Yang Berhormat Beserah dan penduduk setempat di situ berkenaan isu membabitkan Lynas tapi kita perlu mengimbangi kebimbangan mengenai radioactive waste juga,

“Dan kerajaan akan galakkan pelaburan dari pelbagai industri, termasuk industri berat lain yang mempunyai potensi luas,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Andansura Rabu (Beserah- PN) dalam sesi soal jawab lisan di Sidang DUN di sini pagi ini.

Andansura bertanya sekiranya isu sisa radioaktif Lynas itu boleh menjejaskan usaha kerajaan negeri untuk menarik pelabur antarabangsa dan hala tuju kerajaan bagi mengatasinya.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan kerajaan telah memberi Lynas Malaysia tempoh lanjutan enam bulan untuk memenuhi syarat pelesenan beroperasi di negara ini.

Lanjutan masa itu bagaimanapun disertai dengan syarat ketat dan akan sentiasa dipantau Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB).

Dalam pada itu, Mohd Nizar memberitahu, kerajaan negeri melalui Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK) juga mewujudkan laman sesawang Invest Pahang dengan memperkenalkan Location Centric Approach sebagai usaha mempromosi peluang pelaburan.

“Bahagian Pelaburan dan Penswastaan juga sedang meneliti beberapa cadangan insentif pelaburan yang belum dimuktamadkan.

“Diharapkan melalui insentif baharu yang bakal ditawarkan ini dapat meningkatkan nilai pelaburan Negeri Pahang,” kata ADUN Peramu Jaya itu.

Katanya, jumlah pelaburan asing yang diterima dan diluluskan pada tahun 2021 adalah sebanyak RM 10.5 bilion manakala bagi tahun 2022 adalah sebanyak RM 11. 01 bilion.

Berdasarkan pecahan tersebut, antara sektor yang terlibat bagi tahun 2021 adalah sektor perkhidmatan dan sektor permbuatan tertumpu di Bentong serta Gebeng.

Manakala bagi tahun 2022, sektor pembuatan, sektor perkhidmatan, sektor penternakan serta sektor pelancongan yang menyumbang kepada pelaburan Negeri Pahang ini tertumpu di Pekan, Kuantan, serta Rompin. – MalaysiaGazette