KUALA LUMPUR- Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan pengeluaran terhad satu laporan sulit pasukan petugas khas mengenai kehilangan aktivis sosial Amri Che Mat, yang diklasifikasikan sebagai satu rahsia rasmi, kepada isterinya.
Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman yang difailkan Norhayati Mohd Ariffin, 50, memerintahkan laporan itu dikeluarkan dalam tempoh 30 hari khusus kepada wanita itu.
“Pemohon dilarang untuk mendedahkan laporan ini kepada mana-mana orang awam dan hanya untuk peguamnya bagi tujuan perbicaraan. Perintah sama juga terpakai kepada peguam pemohon. Tidak ada perintah untuk kos,” katanya.
Dalam permohonannya, Norhayati menamakan Setiausaha Suruhanjaya Pasukan Polis Mohd Russaini Idrus, 46, dan Kerajaan Malaysia selaku defendan.
Wan Ahmad Farid dalam penghakimannya berkata selepas membaca penjelasan daripada Ahmad Russaini dalam afidavit jawapannya, mendapati ia tidak kukuh.
“Kenyataan umum bahawa laporan itu jika didedahkan akan membolehkan penjenayah dan musuh negara mengambil kesempatan ke atas operasi polis, tidak cukup kukuh.
Bagaimanapun, saya dapati laporan itu hanya relevan kepada pemohon dalam usahanya untuk melakukan persiapan ke atas kes saman dan tidak lebih daripada itu, katanya.
Prosiding hari ini yang dilaksanakan secara dalam talian disertai Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan dan Ahmad Hanir Hambaly sementara Surendra Ananth selaku peguam kepada Norhayati.
Pada November 2019, Norhayati memfailkan satu saman sivil terhadap 21 pihak, termasuk kerajaan dan polis berikutan kehilangan suaminya dan kemudian memohon supaya laporan pasukan petugas khas itu didedahkan bagi tujuan tindakan perundangan.
Bagaimanapun, defendan dalam saman itu membantah permohonan mendapatkan laporan itu atas alasan laporan pasukan petugas khas itu diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).
Norhayati, kemudiannya memfaikan satu semakan kehakiman dan mendapat kebenaran mahkamah pada 19 Julai 2022 dan susulan itu dia menarik balik permohonan mendapatkan dokumen itu dalam saman utamanya.
Dalam permohonan semakan kehakimannya, Norhayati menuntut antaranya satu pengisytiharan bahawa laporan disediakan pasukan petugas khas itu tidak termasuk dalam takrifan “rahsia rasmi” di bawah Seksyen 2 OSA.
Amri didakwa dilarikan di Perlis hampir tengah malam 24 Nov, 2016.
Kenderaan yang digunakan aktivis sosial itu ditemukan dalam sebuah tapak pembinaan terbiar di Bukit Chabang, Perlis sekitar 12.30 tengah malam keesokan harinya.
Sementara itu, Surendra ketika dihubungi berkata mahkamah menetapkan 19 Mei ini untuk pengurusan kes untuk saman utama.
Perbicaraan ditetapkan dari 19 hingga 22 Jun, katanya.- BERNAMA