Mohamad (dua dari kiri) bersama rakan sejawatannya dari Republik Singapura, Ng Eng Hen mengadakan pertemuan membincangkan pertahanan dua hala antara kedua negara.

KUALA LUMPUR – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan hari ini mengadakan lawatan rasmi ke Republik Singapura dalam urusan memperkasakan kerjasama pertahanan antara kedua-dua buah negara.

Menurut kenyataan Kementerian Pertahanan, beliau mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatan dari republik itu, Ng Eng Hen.

“Mereka berdua mengadakan perbincangan untuk memperkasakan kerjasama pertahanan antara Malaysia dan Singapura menerusi platform dua hala dan pelbagai hala.

“Kerjasama pertahanan dua hala antara kedua negara merangkumi aktiviti latihan dan eksesais ketenteraan, kunjungan hormat dan lawatan rasmi pegawai kanan kementerian serta angkatan tentera.

“Di samping itu, perbincangan turut melibatkan pertukaran pegawai, kursus dan penglibatan dalam pameran pertahanan,” kata kenyataan itu, hari ini.

Turut hadir, Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Kerjasama pertahanan itu diperkukuh lagi melalui kerjasama pertahanan pelbagai hala iaitu Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN dan Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan Pertahanan ASEAN, Five Power Defence Arrangements (FPDA) dan Malacca Straits Patrol (MSP).

Kedua mereka yakin pertemuan itu dapat mengukuhkan kerjasama pertahanan di antara negara dan dapat memastikan lebih banyak aktiviti dapat dilaksanakan di masa hadapan.

Mohamad turut bertemu Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong di Parlimen.

Pelbagai perkara dibincangkan bersama Perdana Menteri republik itu terutama mengenai kerjasama pertahanan antara Malaysia dan Singapura.

Lawatan rasmi Menteri Pertahanan telah membuka peluang baharu untuk kedua-dua negara meneruskan hubungan kerja yang baik terutama dalam bidang pertahanan.

Mohamad diiringi pegawai kanan Kementerian Pertahanan dan lawatan rasmi itu merupakan salah satu aktiviti diplomasi pertahanan yang mendokong tonggak strategi pertahanan Perkongsian Berwibawa yang digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan.

Ia juga merupakan sebahagian daripada langkah membina keyakinan dalam memastikan keselamatan negara serta kestabilan serantau.

Delegasi daripada Kementerian Pertahanan turut membuat lawatan ke Pusat Operasi Counter Terrorism Information Facilities (CTIF) di Changi Naval Base untuk melihat fasiliti dan organisasi pusat itu.

CTIF merupakan platform pertukaran maklumat pelbagai hala dan agensi bagi menangani cabaran keganasan.

Organisasi itu telah diwujudkan oleh Pertubuhan Perisikan Tentera (MIO) Singapura dengan kerjasama United States Indo-Pacific Command (USINDOPACOM). – MalaysiaGazette