Lelaki warga asing telah ditahan selepas disyaki berkelakuan jelik di tempat mengambil wuduk di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar,Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki warga asing ditahan selepas disyaki membuang air kecil di tempat mengambil wuduk di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini hari ini.

Suspek berusia 69 tahun itu ditahan sejurus kejadian selepas mendapat laporan pada pukul 4.36 petang tadi, kata Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat.

Katanya. siasatan mendapati lelaki berkenaan tidak mempunyai rekod lampau dan saringan air kencing negatif, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kamarul Zaman berkata, permohonan reman akan dibuat esok di Mahkamah Johor Bahru dan kes disiasat di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan boleh dipenjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Justeru, beliau berkata, orang ramai dinasihati agar tidak melakukan perbuatan yang boleh menimbulkan suasana yang tidak baik dan mengganggu ketenteraman awam.

Terdahulu, tular sebuah video berdurasi 10 saat menunjukkan seorang lelaki berdiri di tempat mengambil wuduk dipercayai membuang air kecil sebelum ditegur seorang lelaki lain mengenai perbuatannya itu. – MalaysiaGazette