peruntukan Parlimen
Wan Saiful Wan Jan

KUALA LUMPUR – Kerajaan Perpaduan digesa membentangkan segera Akta Pendanaan Politik di Parlimen dan memasukkan isu peruntukan kawasan Parlimen dalam akta tersebut.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, langkah itu perlu dilakukan sekiranya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim benar-benar berpegang kepada keperluan reformasi institusi.

“Jika Anwar masih ada sekelumit minat terhadap reformasi institusi maka peruntukan Parlimen seharusnya diberikan secara automatik kepada semua yang dipilih rakyat tanpa perlu apa-apa perbincangan.

“Malahan peruntukan dana pembangunan kawasan Parlimen sepatutnya dimasukkan dalam Akta Pendanaan Politik yang dilaksanakan secara sama rata tanpa mengira siapa berkuasa,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Sebelum ini, Anwar pernah menyatakan kesediaannya untuk menyalurkan peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang sekiranya mereka mahu berunding dengannya mengenai perkara itu.

Wan Saiful yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mendakwa, Anwar hanya berlakon di atas pentas ceramah sahaja seolah-olah mahukan reformasi institusi namun gagal daripada segi pelaksanaan.

“Anwar jangan bagi alasan bahawa sebelum ini pun perlu berbincang atau sebelum ini pun tak bagi.

“Kalau nak ikut amalan sebelum ini, buat apa Anwar jadi Perdana Menteri kalau mandul dalam membawa pembaharuan?” soalnya. – MalaysiaGazette