KUALA LUMPUR – Bekas penyampai radio Suria FM, Zizi, 42, meninggal dunia di Hospital Melaka hari ini.
Difahamkan, Allahyarham Zizi atau nama sebenarnya, Ahmad Zuwairi Mohd Nor pernah dimasukkan ke hospital tahun lalu akibat lemah jantung dan air berlebihan dalam badan.
Allahyarham meninggalkan balu Noor Hidayah, 39, serta tiga cahaya mata, Irsyad Musyrif Billah, 6, Muhammad Muayyad Iyaaz Billah, 4, dan Airis Nur Billa, 2.
Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Katil, Melaka, hari ini.
Zizi mula berkhidmat di Suria FM pada 2008 dan pernah mengendalikan segmen Breakfast@Suria bersama Halim Othman dan Sharifah Shahirah sebelum bergandingan dengan Myra menerusi Menu Ceria Suria pukul 10 pagi hingga 1 tengah hari.
Allahyarham memulakan kerjayanya dalam bidang penyiaran radio di Xfresh FM dan kemudiannya beralih ke Era FM diikuti Suria FM. – MalaysiaGazette