KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Persatuan Bola Sepak Qatar (QFA) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) yang bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan kedua-dua negara khususnya daripada segi bola sepak.
Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, MoU selama setahun ini akan diperbaharui secara automatik setiap setahun dengan tempoh perjanjian tidak lebih lima tahun.
Menurut beliau, kerjasama akan meliputi enam bidang pendidikan kejurulatihan, pembangunan pengadil, bola sepak wanita, perlawanan persahabatan, kem untuk pasukan kebangsaan belia, struktur dan operasi perlawanan belia dan pembangunan futsal
“Sebagai permulaan, skuad Bawah 17 tahun negara (B-17) telah menjalani kem latihan di Akademi Aspire Qatar dan enam perlawanan persahabatan baru-baru ini sebagai persediaan untuk mengharungi aksi Piala Asia B-17 2023 yang bakal berlangsung di Thailand, bulan depan.
“Akademi Aspire ini sememangnya mempunyai kelengkapan latihan, perubatan dan kemudahan moden yang lengkap dan terkini. Sudah tentu kerjasama ini bakal memberi manfaat kepada pembangunan bola sepak kita,” katanya dalam hantaran Facebook FAM di sini hari ini.
MoU berkenaan ditandatangani hari ini di Doha di antara Hamidin dengan Presiden QFA, Sheikh Hamad Khalifa Ahmed Al Thani di pejabatnya di Al-Bidda Tower, Doha.
Turut hadir Setiausaha Agung QFA, Mansour al-Ansari dan Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Hj Rahman.
Hamidin menambah, dalam perjanjian ini kedua-dua pihak turut bersetuju bekerjasama dalam membina hubungan yang erat antara persatuan masing-masing demi manfaat bersama juga promosi, pertumbuhan dan kejayaan bola sepak antara dua negara.
“Ini juga bagi melindungi nilai dan tradisi sukan ini memandangkan bola sepak bukan sahaja untuk aktiviti ekonomi, tetapi ia juga instrumen sosial dalam persefahaman antarabangsa,” katanya.
Sementara itu, Hamidin menghadiri mesyuarat pertama jawatankuasa pengelola Piala Asia 2023 dan mesyuarat jawatankuasa Exco AFC yang turut diadakan di Doha, hari sama.
Mesyuarat berkenaan turut dihadiri Presiden FIFA, Gianni Infantino. – MalaysiaGazette