KUALA LUMPUR – Pusat bantuan kemanusiaan antarabangsa iaitu PasRelief akan melaksanakan program korban dan aqiqah buat julung kalinya di 10 buah negara Islam sempena kehadiran Aidiladha tidak lama lagi.
Pengarah, Ustaz Mohd. Yusni Mat Piah berkata, antara negara itu adalah Yaman, Sudan, Kenya, Filipina, Pakistan, Indonesia, Palestin, pelarian Syria di Lubnan dan pelarian Rohingya di Myanmar dan Cox’s Bazar, Bangladesh.
Beliau berkata, krisis kemanusiaan dan pergolakan yang tiada noktah membuatkan beberapa buah negara Islam dilanda kemiskinan dan ketidakstabilan ekonomi.
Menurutnya, pergolakan yang berlaku di beberapa negara juga menyebabkan mereka menjadi pelarian di negara mereka sendiri.
“Berita mengenai kedaifan mereka tidak dilaporkan di media arus perdana kerana tiada nilaian sosioekonomi.
“Contohnya pelarian yang tinggal di benua Sahara tidak mendapat banyak hasil sama ada tanaman mahupun hasil bumi.
“Keadaan tersebut menjadikan mereka terus diancam kemiskinan namun tetap hidup menggalas perut selagi hayat dikandung badan.
“Sebagai tanda prihatin atas nasib yang tidak berkesudahan itu, setiap tahun PasRelief akan membuka penyertaan korban dan aqiqah daripada orang ramai untuk diberikan kepada penduduk negara Islam yang bergolak dan daif,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Mengulas lanjut, Mohd Yusni, PasRelief telah melancarkan dan membuka penyertaan korban kepada pada tahun ini bagi memberi peluang berkongsi rezeki dengan saudara Islam di luar negara yang ditimpa nasib malang.
“Kami mengajak orang ramai untuk turut bersama dalam mengerjakan ibadah korban di negara yang terlibat.
“Pihak PasSRelief juga turut menghantar delegasi ke sebahagian kawasan yang dilaksanakan ibadah korban dan turut menyampaikan bantuan kebajikan dan membiayai projek pendidikan di pusat-pusat operasi PasRelief di seluruh dunia.
“Penyertaan boleh diisi melalui https://pasrelief.org/permohonan-qurban-aqiqah-2023/ atau menghubungi wakil Sekretariat Qurban PASRelief di talian 60173333881 dan 601110764460,” katanya. – MalaysiaGazette