KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan tahniah atas kejayaan Nusaybah Maszlee kerana menjadi pelajar Malaysia dan Asia Tenggara pertama memenangi enam Anugerah Siswa Cemerlang di Universiti Georgetown, Qatar.
Ucapan tersebut juga turut dizahirkan bersama Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah terhadap anak bekas Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik.
Istana Negara menerusi Facebook menyatakan, kejayaan Nusaybah itu membuktikan rakyat negara ini mampu bersaing dan mencapai kecemerlangan di peringkat dunia.
Baginda berdua menzahirkan rasa sukacita dan bangga atas kejayaan Nusaybah yang sekali gus mengharumkan nama Malaysia.
“Ia juga membuktikan sekali lagi bahawa rakyat Malaysia dengan iltizam dan usaha yang bersungguh-sungguh, mampu bersaing dan mencapai kecemerlangan di peringkat dunia.
“Semoga kecemerlangan beliau menjadi inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya generasi muda untuk bekerja keras dan memberikan yang terbaik bagi mencapai kejayaan dalam bidang masing-masing,” demikian menurut kenyataan itu.
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada Nusaybah dan mendoakan agar beliau dilimpahi kejayaan dan kecemerlangan berterusan.
Nusaybah, 24, yang juga anak sulung, bekas Ahli Parlimen Simpang Renggam melakar sejarah apabila menjadi mahasiswa Malaysia dan Asia Tenggara pertama yang merangkul enam anugerah di Universiti Georgetown baru-baru ini.
Selain memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 4.0, Nusaybah berjaya memenangi anugerah Suma Cum Laude (pelajar paling cemerlang), Anugerah Pingat Dekan, Tesis Terbaik, Anugerah Pelajar Paling Cemerlang pengkhususan Politik dan Hubungan Antarabangsa. – MalaysiaGazette