LONDON – Manchester United sedia untuk mendapatkan penjaga gol Aston Villa, Emi Martinez pada jendela perpindahan akan datang.

Pengendali United, Erik Ten Hag mengenalpasti Martinez sebagai penjaga gol yang sesuai dengan sistem permainannya sebagai ball playing keeper  dipamerkan sejak di Arsenal.

Martinez bukanlah nama yang digemari peminat United selepas insiden dia menganjing peminat Red Devils selepas penalti Bruno Fernandes tersasar satu ketika dahulu.

Dia meninggalkan Arsenal untuk mendapatkan jaminan minit permainan bagi membolehkannya menjadi penjaga gol utama Argentina.

Sejak itu Martinez menjadi pilihan utama di Argentina dan kemudian membantu negara itu menjuarai Copa America, Finalissima dan juga Piala Dunia 2022.

Masa depan Martinez di Aston Villa kerap menjadi tanda tanya.

Ini kerana sebelum kedatangan Unai Emery, pemain itu sudah pernah menyatakan bahawa dia sudah sedia untuk berpindah ke kelab lebih besar yang bermain di Liga Juara-Juara.

Malah Martinez dengan terbuka menyatakan dia berminat untuk bermain di liga seperti Serie A untuk merasai cabaran baharu.

United dilaporkan mahukan Martinez sebagai calon pengganti David De Gea yang kini dalam proses rundingan untuk kontrak baharu.

Namun kesilapannya dalam beberapa perlawanan sejak akhir akhir ini membuatkan Ten Hag mempertimbangkan banyak perkara.

Bagaimanapun United tidak berseorangan memburu khidmat Martinez kerana Chelsea juga dilaporkan berminat mendapatkan pemain itu. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast